Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Aku Tetap Bersyukur



Alangkah bahagianya hidup ini walau aku bukan dari golongan orang kaya raya.  Aku dibesarkan dalam keluarga yang amat sederhana, bahkan, aku tidak segan untuk mengakui keluargaku bukan dari orang yang mewah dan senang.  Tetapi aku tetap bersyukur dari dahulu hingga sekarang.
Jika dibandingkan dengan orang yang senang, aku termasuk golongan yang kurang senang.  Tetapi jika dibandingkan dengan golongan yang lebih susah dariku, aku termasuk golongan orang yang senang.  
Aku pernah ke sekolah dengan hanya sebatang pensil, sepasang baju, sepasang kasut dan wang belanja sebanyak 15 sen sehari.  Cuba bandingkan dengan yang senang dan yang susah.  Jadi aku patut bersyukur yang aku senang.
Bila masuk ke universiti, aku berbekalkan 'maggi' dan biskut kering.  Walhal kawan-kawanku berbekalkan biskut berkrim dan lemak manis dan duit yang banyak.  Aku hanya diberi RM50 untuk wang belanja.  Aku masih ingat jasa baik adik bongsuku menghantar surat sekali sekala dan masukkan RM1 untuk ku dari simpanan duit belanja sekolahnya.  Tetapi tidak seorang sahabatku tahu cara hidupku.  Aku bersyukur.
Bila mula-mula kerja, aku menyewa bilik di bawah tangga yang sepatutnya bilik stor.  Kalau nak masuk ke bilik, aku perlu menunduk kepala.  Dan bila berada dalam bilik, aku tidak boleh berdiri tegak sebab bumbungnya memang rendah.  Sekeping tuala ku jadikan tilam alas tubuhku untuk tidur.  Dan separuh baju-bajuku sebagai bantal alas kepalaku.  Aku susun baju-bajuku yang lain yang hanya berapa helai ditepi dinding sebelah tempat aku tidur. Lantainya simen semata-mata.  
Tetapi aku tidak pernah lupa untuk menghulur RM50 setiap bulan kepada ibubapaku.  Dan setiap kali gajiku naik aku tambah pemberianku kepada mereka.  Aku bersyukur.
Satu hari ibu bapaku telefon ke pejabat nak datang tengok bilikku sewa.  Aku buat macam-macam alasan sehingga satu hari mereka berjaya datang ke rumah yang aku menyewa bilik itu.  Alangkah terperanjat mereka melihat keadaanku.
Ibuku menitis airmata dan muka ayahku berubah.  Tetapi aku tetap mengukir senyuman dan berjanji aku akan pindah ke bilik yang lebih selesa tidak lama lagi.  Waktu itu aku hanya bergaji sebanyak RM275 sebagai kerja yang pertama.  
Satu ketika aku hanya tinggal 15sen dalam saku dan terpaksa berjalan kaki balik.  Tetapi hatiku tidak pernah rasa susah dan aku sentiasa bersyukur.  
Waktu malam aku hanya minum air panas dan cicah biskut kering.  Aku terpaksa ketatkan perutku sebab aku perlu menampung semua perbelanjaan dengan duit gaji sebanyak itu.  Tambang bas, duit sewa bilik, duit bulanan ibubapaku dan duit buat perbelanjaanku untuk makan minum dan pakaianku.
Tetapi berkat kesabaranku, doa dan restu kedua orang tuaku dan dengan nasihat mereka yang aku tidak lupa, aku berjaya berdikari menempuh segala perit jerih dalam hidupku.  
Sehingga aku telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai 3 orang anak.  Yang sulung sudah pun mendirikan rumahtangga dan aku dianugerahkan seorang cucu perempuan yang amat comel.  
Anak kedua perempuanku sudah bekerja dan beliau pula sentiasa menghulur wang bulanan kepada kami.  Inilah berkatnya rezeki waktu aku membantu kedua ibubapaku dan kini aku dibalas jasa dengan pemberian dari anakku pula.  
Betapa bahagianya hidupku kini.  Kini aku menikmati kebahagian hidupku dengan lebih bertambah lazatnya.  Aku peruntukan masa mendalami ilmu ugama serta belajar alquran sebagai bekalan hidupku diakhirat kelak.  Betapa syukurnya aku kepada Allah SWT.
Alhamdulillah aku telah dijemput Allah SWT sebagai tetamu ke rumah-Nya berulang-ulang kali semenjak tahun 1989 mulai umrahku yang pertama.  
Mungkin juga berkat duit ku kerja, aku pernah membawa kedua ibubapaku berumrah pada tahun 1997.  
Dan aku amat bersyukur dapat membawa ibuku berumrah bulan Ramadhan tahun 2006.  
Ayahku telah meninggal dunia pada tahun 2000.  Semenjak tahun 2000 aku telah berulang kali berumrah di bulan ramadhan sehingga aku seolah-olah tidak dapat tidak berumrah bila Ramadhan tiba.  
InsyaAllah ramadhan tahun 2011 ini aku telahpun berdaftar untuk menunaikan umrah.  Bersyukurku kepada-Nya aku telah diizinkan menunaikan fardhu haji sebanyak dua kali dalam tahun 1992 dan 2001 dan jika diizinkan aku menyimpan hasrat hendak menunaikan haji ke tiga, insyaAllah.  Aku tetap bersyukur kepada-Nya.
Jikaku fikirkan, hidupku dipenuhi bermacam-macam warna dan rasa.  Ada yang berwarna cahaya berkilau-kilauan menggambarkan kejayaan dan kebahagiaan, ada yang berwarna hitam pekat yang menggambarkan pengalaman pahit maung.  
Ada rasa manis seperti madu menggambarkan keenakan dalam hidupku dan tidak kurang juga rasa pahit hempedu menggambarkan musibbah yang menimpa diriku.  Tetapi dengan semua ini, aku tidak lupa mensyukuri-Nya kerana semua ini aku terima sebagai ujian dari-Nya.  Bahkan dengan segala pengalaman ini juga membuat diriku lebih yakin sebagai hamba Allah-Nya.
Aku tidak pernah mimpi aku akan diberi rezeki begitu mewah sekali jika ku fikirkan hidupku waktu dahulu.  Sungguh benarlah bahawa usaha, sabar dan taqwa akan membenihkan rezeki yang berlipat ganda jika kita yakin.
Aku bersyukur dan sentiasa sujud kepada-Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Karim.  Dan selawat dan salamku kepada kekasih-Mu Ya Allah, Nabi Ulul Azmi.  Aku mengakhiri penulisanku dengan lafaz kalimah Asy hadu an la ilaha illallah hu wa asy ha du anna muhammaddarrosullullah.

Syukur Hati Dilembutkan Tuhan



Saya ingin berkongsi secebis pengalaman saya bersama anda semua. Sebelum Jun tahun 2001, kadang-kala saya tertinggal solat Subuh kerana tertidur dan buat solat pun sekadar untuk melepaskan kewajipan sahaja; tanpa adanya roh solat itu.
Saya tidak merasa seronok melakukan solat kerana diwajibkan dan terpaksa. Kalau solat itu tidak diwajibkan saya tidak akan lakukan. Saya tidak merasa indah dan manisnya beribadah kepada Allah.
Detik perubahan berlaku dalam hidup saya selepas Jun tahun 2001. Ceritanya begini, adik ipar saya telah meninggal dunia secara mengejut. Jenazahnya ditempatkan di bilik mayat di sebuah hospital untuk proses post mortem.
Sebelum proses itu bermula, saya pergi melihat jenazahnya di dalam peti yang kecil seorang diri.
Sekujur tubuh yang kaku terbujur sepi. Saya merenung dan muhasabah diri. Inilah kesudahan kita ke tempat yang sangat sempit.
Saya kembali ke rumah dan di sinilah bermulanya detik keinsafan. Allah menyayangi hamba-Nya dengan memberikan taufik dan hidayah kepada saya untuk berubah dan memperbaiki diri sendiri. Malam pertama saya balik ke rumah, Allah memudahkan saya untuk bangun pada pukul 2.00 pagi bagi mengerjakan solat taubat.
Saya menangis bersungguh-sungguh memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang saya telah lakukan. Sejak itu saya mengqada solat setakat yang termampu dan mengerjakan solat sunat rawatib. Saya juga dengan izin dan rahmat Allah mampu untuk bangun malam melakukan solat taubat, tahajud dan hajat serta membaca al-Quran.
Sebelum keinsafan ini datang, saya tidak pandai membaca al-Quran, tetapi selepas itu saya bertekad untuk belajar. Allah memberikan hidayah dan petunjuk serta mempermudahkan saya untuk mempelajari al-Quran.
Saya dengan mudah dapat membaca ayat-ayat al-Quran, yang sebelum ini saya tidak tahu membacanya.
Sejak itu jugalah saya tidak pernah tinggal solat wajib, sunat rawatib, bangun malam untuk bertahajud dan bermunajat kepada Allah. Dalam solat saya menangis. Air mata itu mengalir dengan sendirinya tanpa dipinta.
Baru kini saya merasa manisnya iman. Pola kehidupan saya turut berubah, saya sudah tidak berminat menonton program televisyen yang lagha atau yang tidak memberi ilmu atau manfaat. Saya suka membaca buku-buku agama. Sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri saya berjaya mengawalnya.
Kesimpulannya hati yang keras boleh dilembutkan dengan cara kita selalu menziarahi orang mati, kita akan sentiasa ingat mati. Semoga dengan cara ni Allah akan memberi taufik dan hidayahNya kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Jadi marilah kita berusaha untuk memohon taufik dan hidayah Allah semoga kita beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Tips/Panduan Atasi Zina Hati



elagi dinamakan manusia, kita mempunyai perasaan suka mengasihi dan dikasihi. Memang adat kehidupan bahawa kasih cinta didahului dengan berasa rindu, namun jangan pula rindu berlebihan.
Kerinduan kepada kekasih, sering kali membekaskan duka, penyakit menyebabkan kelemahan hati.
Kita sebenarnya berperang dengan perasaan. Namun, seorang Muslim akan terasa nikmat jika dapat menjauhi keluhan, kesedihan dan kerinduan ini.
Ibnu Qayyim memberikan terapi mujarab mengenai masalah rindu.
Sebelum itu beliau memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya: Hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya membiarkan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan membawa kepada kesedihan dan keresahan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Pandangan mata itu satu daripada sekian banyak anak panah iblis."
Setiap penyakit ada ubatnya. Ubat yang terbaik adalah meneguk daripada pengajaran Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud:
"Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih." (Surah Yusuf, ayat ke-24)
Berikut adalah beberapa tips yang ingin dikongsikan bersama :
Ikhlas kepada Allah.
Ikhlas adalah ubat penyakit rindu. Ikhlas kepada Allah bermakna selalu berusaha berada di pintu ibadah dan memohon kesembuhan daripada Allah. Jika kita ikhlas kepada Allah, Allah akan menolong kita daripada penyakit kerinduan melalui cara tidak pernah terdetik di hati.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
"Sungguh jika hati telah berasakan manisnya ibadah kepada Allah dan ikhlas kepada-Nya, nescaya ia tidak akan menjumpai hal lain yang lebih manis, indah, nikmat dan baik daripada Allah. Manusia tidak akan meninggalkan sesuatu dicintainya, melainkan selepas memperoleh kekasih lain yang lebih dicintainya.
Doa mengundang sikap, rasa fakir dan rendah diri di hadapan Allah.
Oleh itu doa adalah salah satu bentuk ibadah yang agung. Ketika kita berada dalam kesempitan, kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, berasakan Allah amat dekat mendengarkan rayuan.
Mengurus mata dan pandangan.
Pandangan yang berulang-ulang adalah suis penting menyalakan api rindu. Orang yang memandang dengan sepintas lalu jarang berasakan hati terusik dan jatuh.
Ibnu Qayyim menyatakan:
"Orang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak tertimpa pelbagai kerosakan. Barang siapa yang terjun ke dalamnya maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya."
Bernikah dan membina rumah tangga adalah langkah paling baik.
Inilah ubat rindu paling baik. Tidak semestinya bernikah dengan orang yang kita kagumi. Meskipun pernikahan itu dilangsungkan tidak dengan orang dicintai dan diidamkan.

Sakit Hati, Tulang Sendiri?



WANITASiapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKIKamu!!!
WANITAMenurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku!
Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa.Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya.
Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran.WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!"LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"
Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kes ibubapa dan  masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas.
Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing" .
Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai. LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITAtidak menunggu, sepertinya. Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.
Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.
LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: belum
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah. WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz
"Selamat tinggal.."
Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.....
Nota Kasih Sayang :
Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang di kemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat.Kerana itu,jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati.Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.
Jadi berfikirlah,  apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima?

Ibu bapa Terlalu Sibuk dan Anak Yang Terabai


Ibu bapa yang amat sibuk
Dalam siri pada bulan ini, kita akan membicarakan faktor pertama, iaitu kesibukan ibu bapa hingga gagal mendidik anak. Menurut Abdullah Nasih, antara faktor terbesar yang menyebabkan anak-anak terpesong haluannya ialah kerana ibu bapa tidak melakukan kerja pendidikan. Mereka fikir bahawa tugas mereka selesai dengan memberikan makanan dan pakaian yang cukup. Selebihnya mereka serahkan kepada sekolah, atau Pasti.
Malang sungguh tanggapan begini. Binatang seperti harimau pun tahu tanggungjawabnya mendidik. Harimau tidak membiarkan anak-anaknya membesar tanpa dia mendidik dan melatih mereka terlebih dahulu. Harimau mendidik anak tentang bagaimana memburu binatang. Apabila si ibu memburu, dia sengaja tidak terus membunuh buruannya untuk dijadikan santapan. Sebaliknya, dia hanya mencederakan buruan itu.
Maka binatang buruan itu terus cuba melepaskan diri sambil lari terhencot-hencot kerana kakinya sudah cedera. Pada waktu inilah, si anak-anak harimau tadi berlatih mengejar dan menangkap buruan. Binatang buruan yang cedera itu menjadi alat pendidikan secara praktikal. Si ibu pula hanya memerhatikan bagaimana anak-anaknya berlatih. Selepas beberapa siri latihan, dan anak-anak harimau tadi sudah cekap, barulah mereka dibiarkan berdikari mencari rezekinya sendiri.
Jika harimau pun tahu tanggungjawab mereka, bagaimana pula ada ibu bapa sanggup mengabaikan pendidikan anak-anak. Harimau mahu anaknya mampu menangkap buruan, maka dia rela menghabiskan masanya melatih anak itu. Yang peliknya, manusia pula mahu anaknya cemerlang, berjaya dan soleh, namun tidak berusaha ke arah itu. Mereka langsung tidak perasan bahawa diri mereka adalah sebenarnya seorang 'pendidik'.
Mendidik bukan menternak!
Ibu bapa perlu ingat bahawa mereka berperanan untuk mendidik anak, bukan sekadar'menternak' anak-anak. Allah menjadikan anak-anak itu sebagai amanah yang amat berharga. Jangan sia-siakan mereka. Mereka bukannya makhluk yang boleh membesar hanya dengan makan dan pakai yang cukup. Mereka punya jiwa dan hati, juga punya nafsu dan perasaan. Kantung kalbu mereka tidak boleh dibiarkan kosong.
Jika ibu dan bapa tidak berusaha untuk mengisi kantung kalbu itu dengan iman dan ihsan, nescaya virus-virus perosak akan menyelinap masuk dan merosakkan pekerti anak-anak. Jiwa mereka punya potensi untuk menjadi manusia sebaik malaikat. Namun, nafsu mereka juga ada potensi menjadikan mereka sejahat syaitan.
Maka 'sibuk' itu bukan alasannya. Kita memang dilahirkan di dunia ini untuk menjadi orang sibuk. Orang yang tidak sibuk ialah orang yang cuai, lalai dan mundur. Maka semua kita perlulah sibuk. Maknanya, orang-orang yang pernah berjaya melahirkan anak-anak yang hebat juga dulunya sibuk, seperti kita. Soalnya kita sibuk dengan apa? Bukankah 'mendidik anak' itu salah satu tugas kita dalam senarai fungsi-fungsi kita sebagai seorang 'bapa' dan 'ibu'?
Orang sibuk dan bijak akan menyenaraikan fungsinya. Fungsi kita bukan sekadar 'pengarah syarikat', 'pegawai kewangan', 'jurutera kanan', 'pakar perbidanan', 'setiausaha persatuan' atau seumpamanya. Fungsi kita juga perlu senaraikan fungsi-fungsi kita sebagai 'anak kepada ibu bapa', 'suami', 'isteri', 'bapa', dan 'ibu'. Selepas fungsi disenaraikan, kita perlu pula mencatatkan tugas-tugas kita bagi setiap fungsi itu. Maka tugas 'mendidik anak' itu satu tugas besar, dan sangat penting , walau pun biasanya tidak 'urgent' ,  yang perlukan ruangan masa yang panjang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN