Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

"Eh, Kamu nak jadi ustazah ke?"


Hari itu adalah hari penyerahan kad laporan peperiksaan. Seperti biasa ibu bapa sibuk bertemu dengan guru-guru kelas dan guru-guru yang mengajar untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka. Tiba-tiba datang rakan saya Ustazah Sal mengadu.
"Macam-macam perangai la parents ni!" rungut Sal
"Kenapa Sal?" Tanya saya
"Tu, ada mak pelajar saya tadi, anak dia dapat 96% untuk subjek Pendidikan Islam, dia bukannya bersyukur, tapi kata pulak kat anak dia.."
"Kata apa?" tanya saya ingin tahu.
"Sambil marah, dia sindir pada anak dia, "Eh, kamu nak jadi ustazah ke, dapat agama tinggi nih?" Mana saya tak sedih" kata Sal.
"Dah la tak syukur, pandang rendah pula kat subjek Pendidikan Islam, lepas tu, ingat jadi ustazah tu hina sangat ka" tambah Sal, lagi.
Saya perasan, memang Sal amat terkilan, saya pun terkilan. Ini bukan masalah menjatuhkan air muka seorang rakan, tapi soal sikap ibu bapa hari ini. Serta sikap segelintir masyarakat secara keseluruhannya. Pendidikan Islam dianggap tidak penting dalam senarai pencapaian akademik mereka. Biar Pendidikan Islam dapat rendah, asalkan subjek lain terutamanya Matematik dan Sains dapat tinggi. Baru masa 'depan' terjamin, fikir mereka.
Namun lebih jauh dari itu, terdetik di hati, Pendidikan Islam bukan sahaja untuk dikuasai semasa peperiksaan, bahkan matlamat sebenarnya adalah untuk diamalkan. Hari ini manusia memandang rendah pada pendidikan Islam sebab mereka melihat pendidikan ini menggunakan kacamata maddiyyah (kebendaan). Mereka lihat masa depan yang dekat. Tidak mencecah ke alam yang satu lagi.
Realitinya kini agak berbeza. Daripada sekian ramai pelajar-pelajar yang melangkah pergi sekolah, berapa ramai yang belajar kerana Allah. Sekurang-kurangnya untuk pendidikan Islam, tasawur Islam atau seumpamanya, berapa ramai yang ikhlas untuk mengamalkan ilmu serta mendakwahkan kepada orang lain.
Daripada sekian ramai ibubapa yang menghantar anak ke sekolah, berapa ramai yang mengharapkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharapkan anaknya menjadi doktor yang hebat serta jurutera yang cekap.
Soalan yang saya sendiri tak mampu menjawabnya.
Saya teringat lagi hari penyerahan kad laporan itu. Memang tak dinafikan ramai ibu-ibu yang tidak bertudung, memakai jean, blaus dan seumpamanya. Tapi, namanya Islam. Ibu-ibu inilah yang akan dan sedang mendidik anak-anak muda generasi baru.. Salah satunya saya sapa:
"Assalamualaikum, puan!"
"Selamat pagi" jawabnya.

Baik Buruk Diet Sesuka Hati


Tanya mana-mana wanita, semuanya pasti mengatakan tubuh yang langsing menambah daya tarikan pada diri mereka. Jesteru, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat kelihatan cantik dan langsing termasuklah mengamalkan diet.
Ada yang mementingkan kesihatan diri selain daripada mahu dilihat langsing, tetapi membuat program diet sendiri mengikut kesukaan. Apa yang penting berat badan turun dan tubuh kekal langsing. Ikuti buruk baik diet sesuka hati begini.
1. Diet Epal dan Detoks.
Makan hanya epal manis (selalunya epal merah) selama 7 hari berturut-turut. Setiap kali makan dua hingga tiga biji dan dalam sehari menjadi sampai lima hingga enam biji. Selain epal, hanya minum air dan mengambil suplemen untuk detoksifikasi. Tujuannya untuk menjadikan tubuh lebih segar dan pencernaan lebih lancar. Seminggu boleh turun sehingga 2 kilogram (kg).
Fakta: Buah-buahan hanya mengandungi vitamin dan karbohidrat. Tidak ada protein dan lemak seperti yang diperlukan oleh tubuh badan untuk menjalankan fungsinya setiap hari.
Komen Pakar: Menurut pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penurunan berat badan yang sihat adalah 1 hingga 1.5 kg/minggu dengan pengurangan makanan sebanyak 500 kalori/hari.
Dalam setiap penurunan berat badan, sebaik-baiknya kurangkan jumlah lemak di dalam badan. Pengambilan buah-buahan untuk menurunkan berat badan bukan hanya menyebabkan jumlah lemak di dalam tubuh menurun, tetapi juga kandungan protein otot dan jumlah cairan di dalam tubuh berkurang.
Kehilangan air yang terlalu banyak dapat membahayakan ginjal. Bila berat badan kembali naik, kemungkinan lemak semakin meningkat.
Sebenarnya tubuh kita mampu mendetoksifikasikan bahan-bahan beracun dan yang tidak diperlukan tubuh secara semulajadi. Proses detoksifikasi berlaku di hati. Jadi, pengambilan suplemen untuk detoksifikasi bukanlah satu keperluan.
2. Diet Elak Nasi.
Langsung tidak menyentuh nasi dan hanya sesekali makan roti atau mi, selebihnya makan sayur dan buah-buahan. Malah, makanan bergoreng, terus dielakkan.
Minuman seperti kopi dan gula juga tiada di dalam menu seharian. Makan selepas jam 7 malam? Tidak sesekali!
Fakta: Makanan seperti nasi, roti dan mi semuanya mengandungi karbohidrat. Nasi yang berasal daripada beras merah sebenarnya lebih menyihatkan kerana ia bukan sahaja mengandungi karbohidrat tetapi juga kaya dengan protein dan serat.
Komen Pakar: Beras merah, kentang (dengan kulitnya), roti dari biji-bijian dan bijirin amat disarankan sebagai pengganti sumber karbohidrat.
Karbohidrat yang mengandungi banyak serat dapat digunakan untuk mengendalikan kadar gula rendah, kadar lemak darah, dan juga berat badan. Jangan terus 'bermusuh' dengan nasi.
Cara terbaik, kurangkan saja kuantitinya.
Ikut pola pemakanan sihat mengikut piramid makanan Asia bermula seperti hasil beras, tepung dan bijiran, diikuti dengan sayur dan buah-buahan.
Seterusnya protein haiwan dan tumbuhan seperti susu rendah lemak, daging tanpa lemak dan kekacang dan akhir sekali makanan yang paling sedikit diambil seperti lemak atau minyak dan gula.
3. Makan Tiga Sudu.
Berat badan mudah naik bagi sesetengah orang, jadi diet seperti ini sering diamalkan. Sayur-sayuran menjadi sahabat baik. Lauk kegemaraan seperti ikan atau dada ayam tanpa kulit dipilih.
Biasanya, makan secara perlahan-lahan agar mudah rasa kenyang. Juga banyak minum air putih.
Fakta: Makan dengan perlahan memberi peluang kepada otak untuk mengirimkan signal sudah kenyang. Cara begini membantu menggelakkan anda daripada makan berlebihan.
Komen Pakar: Pola pemakanan yang sihat, lengkap dengan air, karbohidrat, protein, lemak dan serat. Namun, masih kurang pengambilan protein tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sehingga kekurangan keperluan vitamin dan mineral.
Cuba variasikan sumber protein dengan menambah pengambilan makanan seperti kekacang. Nutrien makanan harus seimbang kerana tubuh amat memerlukannya.
Perhatikan juga cara memasak. Kurangkan menggoreng makanan.
Makan tiga sudu sudah cukup kerana pengambilan sayur-sayuran sudah cukup banyak. Tambahan, sayur dan buah juga mengandungi karbohidrat yang tinggi serat

"Manis tak KURMA ini?"



Cakap je pasal Kumpulan Sepah (Maharaja Lawak), mesti teringat tagline  "Manis tak KURMA ini?". Jadi, teringin pulak nak kongsi resepi masakan kurma. Sedap dimakan dengan apa jua jenis nasi semasa panas2 lagi dan juga bersama roti canai,capati mahupun dgn roti putih biasa dan roti francis. Ada berbagai cara memasak kurma, hanya taip kata kunci, "resepi" di internet, pilih la yang mana suka sedap dan senang untuk dimasak. Selamat mencuba.
Bahan-Bahan
  • 600 g daging batang pinang (dipotong dadu 3 cm)
  • 3 camb minyak
  • 3camb rempah kurma
  • 1 l santan (2 biji kelapa)
  • 1 keping asam gelugur
  • 400 g ubi kentang }
  • 3 biji tomato } dibelah 4
  • 2 labu bawang besar }
  • 2 biji cili merah } dibelah 2, jangan putu
  • 2 biji cili hijau }
Bahan Penumis
  • 5 cm kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
Bahan Kisar
  • 6 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 4 biji buah keras
Cara Masakan
01.Panaskan minyak, masukkan bahan penumis. Kacau 1-2 minit.
02.Bubuh pula bahan kisar, kacau sampai wangi.
03.Masukkan rempah kurma dan sedikit air. Bila terbit bau, bubuh pula daging dan kacau 3-4 minit atau hingga kering airnya.
04.Tuangkan santan dan asam gelugur. Kacau hingga menggelegak dan daging separuh empuk.
05.Bubuh pula kentang, kacau sampai daging lembut.
06.Bubuh bahan baki dan biar mendidih semula sebelum diangkat. 

Wanita Bukan Sekadar Hiasan Dunia



Wanita hadir atas nama cinta. Ya, cinta yang paling agung adalah datangnya dari Ilahi. Bagaimana Allah memurnikan kewujudan wanita bukan sekadar hiasan dunia. Hawa, adalah wanita pertama yang diciptakan atas dasar cinta Allah kepada Adam. Setelah melalui beberapa frasa kehidupan dan sejarah, tidak dapat digambarkan betapa Allah sentiasakagum dengan kehebatan cinta seorang wanita.
Namun, zaman berzaman yang dilalui turut menyaksikan betapa manusia meletakkan darjat seorang wanita di tahap yang paling bawah. Anak perempuan dibunuh, golongan wanita pula dijadikan perkakas. Sehinggalah Islam yang diturunkan melalui Rasulullah SAW, hadir memurnikan kedudukan wanita. Golongan Hawa ini diangkat sehingga menjadi tinggi martabatnya dalam Islam.
Memang benar, pernah dikatakan Rasulullah bahawa antara golongan yang paling ramai memasuki neraka adalah wanita. Namun, jangan dilupakan bahawa mereka juga mudah untuk memasuki syurga. Bagaimanapun, hari ini ramai golongan wanita kurang menyedari kemuliaan kedudukan mereka di sisi agama. Larangan dan perintah, bukanlah untuk menyusahkan mereka, tetapi di situlah letaknya murni seorang wanita. Bagaimanapun, sedarkah mereka bahawa fitnah turut hadir bersama-samanya?
........................................................ Untuk mendapatkan artikel sepenuhnya, sila dapatkanILUVISLAM Bil 68 : WANITA ITU FITNAH DI SEBALIK KEMULIAANNYA yang berada di pasaran.

Imam Hassan Juara Imam Muda 2



Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Mohd Hassan Adli Yahya@Hassan, 26, dinobatkan sebagai juara Imam Muda musim kedua selepas menewaskan pencabarnya, seorang Guru Besar sekolah agama di Perak, Nazrul Izwan Zolkiflee, 26.
Kemenangan itu membolehkan Mohd Hassan Adli menerima biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Arab Saudi, pakej haji dan umrah, kereta Proton Exora serta wang tunai RM55,000.
Selain itu, beliau menerima trofi, sijil penyertaan serta kad tauliah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan, serta hadiah sampingan lain termasuk pakej percutian ke Vietnam, perabot jati bernilai RM15,000, komputer riba dan sebuah kamera digital.
Nazrul Izwan pula menerima biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, pakej umrah, wang tunai RM20,000 serta pakej percutian ke Vietnam dan perabot jati bernilai RM10,000 selain komputer riba, kamera digital, trofi, sijil penyertaan dan kad tauliah Jawi serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Hadiah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Kemuncak program yang mengangkat peranan imam ke kaca televisyen itu berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam di sini.
Program Imam Muda musim ini diketuai Mudir Datuk Hassan Mahmood Din Al-Hafiz serta empat tenaga pengajar, Ikmal Zaidi Hashim, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Asmawi Tuan Umar dan Zulkefli Hamat.
Kuala Lumpur, 1 Julai 2011

Kisah Ulama Sufi : Jauhi Sifat Berburuk Sangka dan Bangga diri (Ujub)


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari bahawa apabila sifat-sifat ini  telah bertapak dalam hati kita akan menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada Allah S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak sebotol arak. Lalu Hassan berbisik "Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba Hassan melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
01. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang oleh-Nya.
Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su' u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di hati kita. Lebih parahnya, terkadang persangkaan kita tiada mempunyai asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.
02. Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka," (Surah as-Sajadah:15-16)

Tidak Ku Pinta Mahar Yang Tinggi


Sayup-sayup kedengaran di luar sana. Kalau mahasiswa di Malaysia sibuk dengan pelbagai aktiviti. Ada yang sibuk bercuti dengan sahabat-sahabat, ada yang menziarahi sanak saudara, tidak kurang ada yang berprogram bersama kawan-kawan. Bercuti serata dunia.
Bagi yang ada kesedaran, ada yang mengikuti program "short sem" di pondok-pondok bertiangkan kayu jati bagi memperkukuhkan ilmu agama. Tidak rasa rugi dengan sedikit bayaran yang di kenakan. Sememangnya pondok-pondok di Malaysia sekarang sudah banyak upgrade dari segi sistemnya. Mereka mengetahui mahasiswa-mahasiswa perlukan mereka di kala cuti semester berlangsung.
Manakala bagi pelajar timur tengah mungkin sebahagiannya masih dalam peperangan exam yang belum selesai. Semoga Allah permudahkan semuanya.
Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak
Di hujung tahun sebegini sememangnya para 'bujang senang' mahupun 'bujang belum terlajak' mengambil kesempatan untuk mengadakan hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.
Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu. Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.
Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab. Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada masa akan datang.
Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi bualan.
"Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k."
"Anak pak seman pulak RM1k je, murah kan. Tak patut betul ustaz tu."
"Anak saya kawin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali minta diskaun."
Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang. Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.
Anak Aku Paling Mahal
"Anak aku la paling "mahal" setakat ni dalam kampung kita, " dengan penuh bongkak dan takabur berbicara, tanpa menyedari hakikat mahar yang disyariatkan.
Masyarakat menjadikan Islam itu semakin sukar untuk diamalkan. Menyukarkan untuk melaksanakan tuntutan Islam sekali gus membuka pintu maksiat yang dilakukan oleh pasangan kerana sukar untuk berkahwin. Inilah barah yang kian melanda dewasa ini.
"Mak tak payah la letak mahal-mahal sangat, dia bukan keje tetap lagi," kata Lina.
"Hang gila ka apa? Aku bagi hang belajaq sampai MA, hang nak bagi kat dia RM2k jer. Baik hang cari orang lain yang lebih kaya kalau macam tu," balas Mak Andak pada Lina.
Anak hanya menunduk diam. Tidak berani membantah cakap ibu. Dikhuatiri akan terderhaka.
Kadang-kadang si anak memahami apa yang dikehendaki dengan perkahwianan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa.
Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja, mas kawin mahupun mahar. Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.
Martabat Wanita Di Sisi Agama
Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.
Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.
Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.
Suami Akan Lakukan Yang Terbaik
Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda.
Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.
Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.
Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.
"Aku bayar sampai RM11k, ingtkan serba boleh. Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai., masak kari pun masin dan bla bla bla...."
Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.
Pesan Rasulullah s.a.w.
Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana nabi menyebut,
"Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya."
"Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya."
"Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah."
"Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi."
Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain.
Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.
Saya masih ada seorang kakak yang belum berkahwin dan insyaAllah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan. Sempat saya berpesan kepada mak sebelum kakak bertunang.
"Kakak nanti, mak jangan letak mahal-mahal. Ikut pihak lelaki tu nak bagi berapa. Kita bukan nak jual anak. Kalau mahal-mahal pun menyusahkan pihak lelaki je nanti, lagi masalah."
Pelbagai alasan dan sebab serta hikmah tentang perkahwinan sempat diceritakan kepada mak saya.
Alhamdulillah sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Selebihnya terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya.
Semoga hubungan kakak saya dengan bakal suaminya berkekalan selamanya dan mendapat reda dari Allah. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN