Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Cinta Itu Nikmat Tetapi Awas



Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Tepuk dada tanya Iman.
Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.
Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.
Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.
Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.
Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.
Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.
Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.
Hakikatnya kini, bercinta itu sudah menjadi satu "trend" dalam kehidupan kita. Kita lebih cenderung mengelaskan mereka yang kononnya yang tidak bercinta atau 'couple' itu kolot, ketinggalan zaman atau mungkin juga tidak laku. Hal ini menyebabkan kita berasa malu dan mula ketagih untuk bercinta.
Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.
Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?
Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.
Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?
Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.
Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.
Perbuatan kita ini bukan sahaja menodai cinta itu sendiri tetapi juga menconteng arang ke muka kedua-dua ibu bapa kita. Usah mencipta kenikmatan seketika, kelak bias meruntuhkan maruah sendiri.
Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.
Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.
Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?
Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?
Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.
Cinta itu menghayalkan. Cinta itu membuat kita alpa tentang segalanya. Lupa dunia, lupa Akhirat. Begitulah cinta itu. Kadang-kadang cinta itu sesuatu yang nikmat tetapi awas. Disebabkan cinta, kita sebagai manusia hilang maruah diri dan pengangan agama entah ke mana. Yang menanggungnya kita. Bukan oang lain.
Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.

Kerajinan Sang Semut



Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan.
Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda S.A.W.
Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kerajinan, daya usaha yang tinggi serta kegigihan adalah suatu frasa yang hampir sama ertinya. Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti sebenarnya sebagai suatu aspek utama untuk mengorak kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan?
Berapa ramai dari kita yang menjadikan elemen rajin sebagai suatu unsur yang mesti ada dalam diri?
Terciptanya manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah bukti kesempurnaan kejadian manusia. Jika kita bandingkan diri kita semua dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan, sudah tentu terdetik rasa bertuahnya diciptakan sebagai manusia yang sempurna tubuh, akal fikiran dan anggota lainnya.
Jika kita bandingkan diri kita dengan makhluk Allah bernama semut, pasti ada terlintas di fikiran bahawa semut adalah makhluk kecil yang lemah berbanding kita semua.
Semut adalah serangga bersaiz kecil dan halus tubuh badannya. Kekurangan tersebut langsung tida mendukacitakan sang semut kerana mereka hidup dalam suatu komuniti yang besar, bersatu padu dan saling bekerjasama. Kegigihan sang semut sememangnya mengatasi manusia dan ini seharusnya menjadi pedoman dan pengajaran buat insan yang berfikir.
Lihatlah bagaimana mereka meguruskan kehidupan harian dengan begitu rajin. Jika mencari makanan, mereka akan meredah segala pelusuk yang menempatkan makanan meskipun lokasinya amat jauh dari sarang.
Cubalah anda menyelusuri seekor semut dari saat dia keluar untuk mencari makanan hinggalah pulang ke sarangnya. Pasti anda akan mendapati kesungguhan yang luar biasa dan tanpa putus asa yang ada pada sang semut.
Kata seorang sarjana Barat, Henry W. Beecher,
"Satu jam yang tekun dan insentif, adalah jauh lebih baik dan menguntungkan daripada mimpi dan termenung yang bertahun lamanya."
Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh sang semut selari dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." [An-Najm:39]
Dikisahkan Nabi Sulaiman A.S sedang berehat di luar Istana lalu baginda ternampak seekor semut yang sedang merayap di atas seketul batu. Baginda berasa kagum bagaimana semut itu boleh hidup di atas batu-batu yang kering di tengah-tengah padang pasir itu.
Disebabkan ingin membantu semut tersebut, Baginda menyediakan sebuah rumah kecil dengan bekalan makanan gandum didalamnya. Selepas semut itu bersetuju, maka tingallah ia di dalam di dalam rumah kecil berisi bekalan gandum itu.
Selepas sebulan lamanya, gandum itu hanya tinggal sedikit. Semut tersebut menjelaskan kepada Baginda kenapa ia lebih senang hidup di luar daripada dipelihara. Ini kerana ia bimbang Baginda akan terlupa memberinya makan kerana kebiasaannya jika di luar sana, sang semut akan makan sebiji gandum atas daya usaha dan kerja kerasnya.  
Tetapi sebaik sahaja Nabi Sulaiman memasukkannya ke dalam rumah tersebut, sang semut menyatakan bahawa ia cuma dapat makan setengah gandum sahaja supaya bekalan itu mencukupi untuk sebulan lagi.
Akhirnya Nabi Sulaiman akur bahawa usaha dan ikhtiar yang kuat sang semut dapat menjana kekuatan hidupnya. Benarlah apa yang dikatakan dalam buku Success Acceleration karya Tony Jeary:
"Bersikap optimis dan positif bukanlah hanya suatu tindakan, gimik atau formula ajaib yang perlu dilakukan apabila perlu. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang mesti dibangun dan diamalkan sehingga ia menjadi suatu kebiasaan (a nature of response). Justeru mulai saat ini, jadilah seorang yang optimis sepanjang masa."
Sang semut menjalankan tugasnya dengan dua elemen yang penting yang boleh kita contohi iaitu 'focus' dan 'priority' (keutamaan). Sang semut sentiasa fokus iaitu memberi tumpuan kepada kawasan sumber makanan lalu melaksanakannya dengan ikhtiar yang tinggi untuk mendapatkan makanan tersebut.
Prioroti sang semut pula menekankan kepada kesesuaian kawasan sumber makanan untuk mereka perolehi. Sebaik sahaja sang semut mengenalpasti kawasan yang ingin dituju, maka segerombolan semut akan melakukan operasi mencari makanan tersebut.
Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya. Kerana sikap itulah, sang semut jarang sekali atau mungkin tidak pernah pulang ke sarang dengan tangan kosong!
 Hakikat ini disokong oleh Presiden Indonesia pertama, Sukarno ada menyatakan,
"Orang yang rajin lebih berharga daripada seorang raja."
Wallahua'lam.   By:kkrek

Kenapa Anda Tidak Solat?


Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak cukup masa la. Keje saya banyak. Saya memang busy memanjang.
Pengajaran: Masa itu adalah pinjaman dari Allah S.W.T, bila-bila pun Dia boleh ambil semula waktu yang dipinjamkan, maka beringatlah, walau sibuk sekalipun, luangkanlah masa sekurang-kurangya lima minit, lima kali sehari untuk bersolat.
Situasi 2
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya rasa diri saya dah terlalu banyak buat dosa. Kalau saya solat, mahukah Allah terima ibadat saya tu?
Pengajaran: Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Jika kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah S.W.T nescaya ibadat kita akan diterima Allah S.W.T. Insya-Allah.
Situasi 3
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak tau cara-cara nak solat. Mak ayah saya tak pernah ajar sebab mereka pun tak solat.
Pengajaran: Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk di jadikan sempadan.
Situasi 4
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Suka hati sayalah. Kubur masing-masing. Tolong jangan jaga hal saya.
Pengajaran: Terimalah teguran positif dengan hati yang terbuka, supaya diri kita sentiasa berubah menjadi lebih baik.
Situasi 5
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya penatlah. Saya btul-btul tak larat. Boleh tak saya solat esok je?
Pengajaran: Sepenat-penat kita, janganlah kita tinggalkan solat kerana setiap perbuatan kita dicatat oleh Malaikat di bahu kiri dan kanan kita.(Malaikat Raqib & Atid)
Situasi 6
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Sebab saya memang dah biasa macam ni. Rileklah. Alim sangatlah awak ni. Tak rugged lansung!
Pengajaran: Jangan lupa, bumi yang dipijak ini milik Allah S.W.T. Bila-bila masa dia boleh 'gulung' bumi ini.
Situasi 7
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Alah nantilah aku solat. Aku muda lagi. Nanti tua aku taubatlah.
Pengajaran: Kita tidak tahu ajal kita bila. Boleh jadi hari ni, esok, lusa? Sekiranya gugur sahaja daun kita dari pokok yang terletak di Arash Allah S.W.T, maka bersedialah Izrail untuk memanggil kita pulang. Persoalannya, BERSEDIAkah kita ketika itu?
Pernah jumpa tidak situasi di atas?
Pernah atau tidak pernah, itulah jawapan-jawapan lazim yang biasa kita dengar dari masyarakat Islam. Islam mungkin hanya pada nama, ataupun mgkin saja hanya pada ic,ataupun hanya pada pegangan.
Berpegang pada kefahaman Islam, tetapi tidak solat. Mungkin mereka terlupa bahawa, solat itu adalah tiang agama. Jangan kita kita lupa berterima kasih kepada Pencipta yang dtgkan kita ke dunia ni.
  • Terlalu sibuk dengan aktiviti harian hingga terlupa adanya Allah S.W.T.
  • Terlalu penat bekerja cari rezeki hingga terlupa, rezeki itu pemberian Allah S.W.T.
  • Asyik berfikir tentang dosa yang sudah dibuat, hingga terlupa mahu fikir, apa amal yang belum buat. Asyik risau tentang ibadat yang bakal dibuat, takut tidak diterima, sedangkan ibadat tersebut, belum cuba dibuat.
  • Sibuk mahu menuding jari tentang keburukan orang, hingga lupa yang diri sendiri pun sudah cukup baligh untuk berfikir mana yang baik ataupun yang buruk.
  • Terlalu marah fikirkan orang cuba masuk cmpur hal peribadi, hingga lupa, soalan itu merupakan teguran supaya tidak tergelincir dari landasan yang asas.
  • Asyik fikirkan diri yang penat, hingga lupa hendak terima kasih pada Allah S.W.T.
  • Terlalu sibuk mahu ruggedkan diri, smpai lupa bumi 'rugged' yang dipijak tu bumi Allah S.W.T.
  • Terlalu asyik fikirkan yang hidup muda ini untuk enjoy, yakin hidup sampai ke tua?
Islam bukan hanya suatu pegangan mahupun kefahaman, malah Islam adalah suatu cara hidup yang tidak akan lapuk biarpun Islam wujud sejak zaman dahulu. Islam tidak akan berubah mengikut peredaran zaman ataupun teknologi.
Se'rugged' mana pun kita, janganlah kita lupa, kita ini datang daripada Allah S.W.T dan kepada Allah S.W.T juga kita akan kembali. Ke mana perginya roh-roh kita setelah kita meninggal dunia?
Tempat tinggal roh.
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat":
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari Kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat.
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya":
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Kelompok manakah kita?
Bersediakah kita menghadapi kematian?
Menghadapi hari pengadilan?
Semoga kita sentiasa ditunjukkan jalan yang benar dan dijaukan dari segala kemungkaran. Insya-Allah.
-Artikel islam itu indah    By:kkrek


Tulisan ini sekadar perkongsian ilmu. Ia berlaku kepada saya dan suami sekitar jam 6.30 petang pada 29 Mac 2011. Lokasi kejadian di Restoran Enak (bukan nama sebenar).
Sejak setahun yang lepas, saya dan suami berulang alik dari Janda Baik, Pahang ke tempat kerja di Putrajaya. Kami menggunakan Lebuhraya KL-Karak dengan kadar tol pergi dan balik berjumlah RM10. Rutin perjalanan yang sama, ada kalanya membuatkan saya ingin mengalih angin. Lantas, saya menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong pada hari tersebut. Jaraknya lebih jauh dan masanya lebih lama berbanding menggunakan lebuhraya. Namun, pemandangan sepanjang perjalanan menjentik rasa damai dihati. Saya mendapat pengalaman baru sepanjang perjalanan itu.

Kami mengambil keputusan untuk singgah di sebuah restoran makanan. Makanan dan minuman yang dipesan tiba seperti biasa. Kelihatan beberapa pengunjung singgah di situ. Sesudah makan, kami pun membayar harga makanan dan minuman tersebut di kaunter pembayaran.
"Dik, berapa harga makanan tadi?"
"Jumlah harga RM26.00."
Saya menghulurkan RM50.00. Namun, apabila dipulangkan baki, hanya RM21.00 yang saya dapat. Mustahil ianya satu kesilapan kerana jumlah harga diulang sekali lagi oleh saya semula dan disahkan oleh juruwang. Mustahil juga juruwang tersilap memulangkan bakinya kerana pada logik akal saya, pasti tidak akan berlaku kesilapan setakat mengira wang RM1.00 sebanyak empat keping sahaja.
Walaupun saya tidak berpuas hati, atas alasan tidak mahu memalukannya atau mungkin dia memang berniat tidak baik, kami terus berlalu. Saya masih tidak berpuas hati. Katakanlah setiap makanan berharga RM5.50 atau RM 6.00, jumlah harganya tidak akan menjadi RM29.00. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap makanan berharga RM4.50. Perjalanan diteruskan dan saya cuba melupakan perkara ini.
Pada keesokan paginya, sudah menjadi rutin harian saya untuk mendengar segmen tafsiran Quran di Radio IKIM fm. Kali ini Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed menceritakan riwayat orang soleh yang disegani. Beliau beria-ia mempertahankan duitnya yang sedikit berbanding dengan duitnya yang banyak sebelum ini. Apabila ditanya, kenapa beliau bertindak begitu, beliau menjawab, duit yang sedikit ini jelas duitnya dan dia mempertahankannya supaya orang ini tidak memakan duit haram, manakala duit yang banyak sebelum ini diragui olehnya bukan miliknya, makanya dibiarkan orang itu memiliki duit tersebut.
Akhirnya saya sedar, saya telah bersikap zalim dengan pekedai itu. Saya tidak menegur kesilapannya dan membiarkan dia mendapat duit haram. Malah, saya berburuk sangka dengannya. Kemungkinan dia melakukan kesilapan kerana terlalu penat. Alasan saya untuk tidak memalukannya adalah tidak tepat. Seharusnya saya terus menegurnya supaya kesilapan tidak berulang. Saya perlu mempertahankan wang RM3.00 saya kerana ianya memang milik saya.
Saya juga berbuat silap. Oleh itu, saya halalkan RM3.00 itu supaya tidak menyusahkan kehidupan pekedai itu. Niat untuk tidak berkunjung lagi ke restoran itu, saya usir jauh dari hati. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada saya dalam setiap langkah kehidupan menuju ke jalan Ilahi. Semoga Allah sentiasa bersama saya.
-30 Mac 2011
Manusia, mudah lupa dan leka. Saya terlupa, perkara yang pernah saya coretkan. Saya pernah memberi pinjaman kepada seorang rakan. Dia menghubungi saya lewat telefon. Apabila mendengar suaranya yang sayu dan masalahnya yang kekurangan wang, hati saya dihambat rasa kasihan. Lantas saya memberi RM100.00 sebagai pinjaman kepadanya. Dia amat berterima kasih kepada saya dan berjanji akan memulangkan wang tersebut. Namun, janji tinggal janji. Setelah tiga bulan berlalu, dia cuma diam seribu bahasa. Saya tertanya-tanya, mengapa dia masih belum membayar hutang. Bukankah gajinya sudah tiga kali masuk, berserta setengah bulan bonus lagi? Kenapa? Hati menjadi berat apabila memikirkannya.
Saya tidak menceritakan perkara ini kepada rakan sekerja yang lain. Bagi saya, hutang adalah satu isu yang kurang baik diceritakan. Saya juga tidak mahu mengingatkannya kerana bimbang dia akan mendapat malu. Saya cuba bersangka baik. Mungkin keadaannya tidak mengizinkan.
Namun, hati saya masih tertanya-tanya. Mengapa dia mengambil ringan hal hutang piutang ini? Mengapa tidak menulis nota ringkas sebagai peringatan? Hati saya tidak mampu redha dengan sebenar-benarnya. Lantas, saya berkongsi beban perasaan ini dengan suami. Suami mengingatkan saya tentang coretan saya pada 30 Mac 2011 dahulu. Suami bertanya, adakah saya ingin menyusahkan kehidupannya di akhirat nanti? Saya perlu berjumpa dengannya,  mengingatkan semula akan hutangnya. Saya patut berusaha untuk mendapatkan hak saya. Mungkin dia benar-benar terlupa. Bukankah dia manusia biasa? Adakah saya ingin membiarkan dia malu di hadapan Allah nanti? Adakah saya mahu berlaku zalim padanya di akhirat nanti?
Seandai saya tidak mahu menzaliminya di akhirat nanti dan tidak mahu memalukannya di dunia ini serta tidak ingin menyusahkannya untuk memulangkan kembali RM100.00, maka halalkanlah dengan seredha-redhanya. Nota ringkas yang saya tampal pada kalendar meja di pejabat, saya renyuk dan buangkannya. Kosongkan hati dan minda seluas-luasnya.
Rezeki Allah pelbagai bentuk, ilmu Allah seluas lautan, kasih sayang Allah tidak bertepian. Syukur pada Allah diberikan lagi ilmu dalam usaha mendidik hati yang lemah ini. Hendak mendidik hati bukan perkara mudah. Hati perlu disakitkan, nafsu perlu ditundukkan sekiranya kita ingin mencari kehidupan yang hakiki. Ya Allah, aku memohon pada-Mu Ya Allah, walau apa pun takdir yang telah Engkau tetapkan untukku, aku mohon pada-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman aku ini, matikanlah aku dalam agama-Mu Ya Allah, semoga Engkau sentiasa bersamaku. Amin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN