Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Ungkapan Maaf Itu


Maaf
Ungkapan itu mungkin terlalu berat untuk diluahkan. Tak tahulah ego tahap mana yang meraja dalam diri. Susah sangatkah mahu dibebaskan dari sangkar hatimu itu? Tepuk dada, tanya iman. Biarkan hati diketuk. Dengan akal sekali lagi. Moga jernih air yang keruh.
Jangan memilih siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.
Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya. InsyaAllah.
Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara. Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai? Excuse me. Semudah itu katamu?
Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu?
Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan ukhuwah tersebut mampu kukuh?
Mengalah Bukan Bererti Kalah
Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain! InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.
What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah air.
Maafkan Dia Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu
Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan bulat-bulat pada DIA!
Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu!
Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.
Maaf Itu Membahagiakan
Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya! Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.
Sabda baginda Nabi
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.
Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu.
Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu. Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan membahagiakan saudaramu.
Abu Burdah r.a berkata:  Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:  Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manisnya Tahajud



"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.
Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.
Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, "Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!" Abu Sulaiman pula berkata, "Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini."
Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.
Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka."
Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur."
Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hamba-Nya yang menghidupkan malam.
Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allahs.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas."
Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dalam golongan manusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla,menutup segala dosamenghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa."

Allah Ajarkan Siapa Aku?



Dengan namaMu Ya Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ... Dengan NamaMu ini kami menjalankan amanah yang Kau telah tetapkan untuk kami, ada di kalangan kami yang mengajar anak-anak sekolah Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang menjual ayam di pasar Atas NamaMu, ada di kalangan kami yang sedang membawa pesawat kapal terbang Atas NamaMu ... kerana kami semua wakilMu ya Allah ... redhailah kami dan pandangilah kami dengan pandangan rahmatMu ... keranaMu kami hidup dan dengan NamaMu kami ingin mati ... Lailahaillallah ... perkenankan Ya Allah ...
Alhamdulillah sahabat, bertemu kembali setelah agak lama juga saya tidak berkesempatan untuk menulis di sebabkan program yang berterusan. Pada pagi ini saya ingin kongsikan pengalaman diberikan Allah untuk saya merasakan diri saya yang sebenarnya ...
Sebelum ini di dalam penulisan yang lepas, sudah agak kerap saya menulis bahawa kita bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini ... fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini. Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara fasiliti yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya ...
Allah juga memberikan komputer ini kepada wakilNya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai sistem yang ada di dalam diri kita ... Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan ...
Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhlukNya yang lain maka kita dilantik menjadi WakilNya di muka bumi ini.
Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal beserta nafsu, akal ... maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu ... betulkan?
Alhamdulillah, semalam saya diberi peluang diajar Allah untuk 'Merasakan' diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di "matikan" switch ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya. Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan ... benarkan?
Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu .... Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitu lah yang berlakunya setiap hari ...
Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointmentkami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas itu, saya tersedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya ... Saya sangat sedar ketika itu .... ingin saja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku ... tapi tidak berdaya.
Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah ... Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya, tidak mampu ... Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk mengadap Allah ... saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah ... kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup ... maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga ....
Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan ... Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat ... Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru ...
Saya terus menyedari bahawa 'Itulah Aku Yang Sebenarnya' ... aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini ... Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman'Merasakan' diri kita yang sebenarnya ... Terima kasih Allah.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui

Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati?


Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.
Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?
Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,
Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple". Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?
Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.
Jodoh?
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?
Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?
Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya

Mari Menjadi Hamba kepada pencipta
 Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.
Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!


Jangan terlalu fikirkan cinta
Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf  dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.
Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.
Lihatlah cinta yang sebenar ini!
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."

Dia Takdirmu Di Syurga


Hati manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras.
Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu.
Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.
Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-'e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya.
Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.
Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan.
Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara.
Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.
Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi.
Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng.
Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.
Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-'at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.
"Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah..." rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.
Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.
Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan.
Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.
Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa.
Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran.
Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.
Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain.
Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.
Sebelum Kahwin
Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik.
Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.
Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" an-Nur (24:26)
Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.
Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;
Allah Taala berfirman, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan..." an-Nisaa' (4:34)
Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni.
Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.
Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.
Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga.
Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.
Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini.
Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.
Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.
Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu.
Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar.
Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.
Sanggupkah kalian bercinta?
Selepas Kahwin
Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia.
Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran.
Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.
Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.
Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.
Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga.
Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh.
Ini bukan soal cinta atau suka.
Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga.
Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia.
Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.
Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat.
Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" al-Baqarah (2:286)
Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.
Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda.
Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga.
Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing.
Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin.
Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.
Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani.
Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan.
Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti.
Bukankan ironi sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.
Kenapa perlu mengembalikan cinta?
Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia.
Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar.
Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu.
Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.
Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda.
Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian.
Prinsip dan paradigma utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.

Zikir Adalah Komunikasi


Sabda Rasulullah s.a.w:"Apabila kamu melintasi taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah" Para sahabat bertanya:"Apakah itu taman syurga?"Jawab baginda:"Majlis Zikir." (Riwayat at-Tirmidzi)
1. Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Ia merupakan ibadat yang tidak hanya tertumpu pada lidah sahaja tetapi juga dengan hati dan seluruh anggota badan. Malah apa sahaja perbuatan yang dilakukan dengan tujuan untuk mengingati-Nya adalah termasuk dalam konteks zikirullah.

2. Zikir adalah amalan yang boleh menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Sebaliknya orang yang jiwanya sering lalai daripada mengingati Allah, mata hatinya akan buta dan kehidupannya menjadi sempit dan mudah tertekan.

3. Orang yang selalu berzikir akan mudah terdorong untuk melakukan kebajikan dan tercegah daripada kemungkaran. Ini disebabkan ia merasai bahawa Allah sentiasa bersamanya dalam setiap amalan yang dikerjakan.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرً۬ا كَثِيرً۬ا
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.
(Surah Al-Ahzab 33 : Ayat 41)

Kenali Tokoh – Siapakah Perintis Ilmu Matematik Moden?


Adakah anda mengenali al-Khawarizmi ?

 

Abu Abdullah Mohammad bin Musa al-Khawarizmi dilahirkan di Khawarizm (Kheva), selatan Laut Aral. Selain kisah penghijrahan keluarganya ke selatan Baghdad, hanya sedikit yang diketahui tentang riwayat awal hidupnya. Bahkan tarikh sebenar kelahiran dan kematian beliau tidak diketahui. Fakta yang diketahui hanyalah kemasyhuran dan perkembangan ilmu beliau adalah pada zaman kegemilangan pemerintahan al-Ma’mun di Baghdad pada sekitar 813-833 M dan mungkin meninggal dunia sekitar tahun 840 M.

Ramai mengetahui dan biasa dengan istilah Aljebra dan Algoritma tetapi pasti ramai tidak mengetahui tentang pengasasnya – Mohammad bin Musa al-Khawarizmi. Selain matematik, beliau turut membuat semakan semula dan membetulkan pelbagai pandangan Ptolemy bahkan menghasilkan peta pertama mengenai dunia dan wilayah yang telah diterokai pada waktu itu (sekitar tahun 830 M). Dalam usahanya menghitung isipadu dan ukurlilit bumi, beliau turut menyumbang kepada kerja-kerja berkaitan sukatan masa, jam matahari dan alat penentu kedudukan bintang.
Bagaimanakah riwayat hidup beliau?
Abu Abdullah Mohammad bin Musa al-Khawarizmi. Penghujung namanya merujuk kepada kawasan kelahiran beliau – Khawarizm; Kheva moden, selatan Laut Aral. Dilahirkan sekitar 780 M dipercayai di Kath (sebahagian Khawarizm). Kini Kath telah runtuh dalam timbunan pasir. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 850 M. Penghijrahan beliau ke Baghdad adalah atas pelawaan Khalifah al-Ma’mun yang kemudiannya melantik beliau sebagai ahli Astronomi DiRaja.
Istilah aljebra yang digunapakai hari ini dipinjam dari bukunya yang berjudul Hisab al-Jabr wal Muqabalah (Ilmu Hisab, Penyamaan dan Pengurangan). Aljebra merupakan satu bukti betapa besarnya sumbangan ahli matematik Muslim kepada dunia Barat. Yang menarik, apabila istilah ini digunakan oleh orang Inggeris ia merujuk kepada teknik meluruskan tulang yang patah bahkan  turut merujuk kepada kepatahan tulang itu sendiri. Ini merupakan satu terjemahan langsung istilah Arab al-Jabr – membetulkan tulang yang patah, dari kata kerja ‘jabara’ (menyatukan). Istilah ini pula sebenarnya diambil oleh orang Inggeris dari samada bahasa Sepanyol, Itali ataupun Latin purba. Orang Arab bagaimanapun telah lama menggunakan istilah ini sebagai merujuk kepada penyelesaian persamaan aljebra. Istilah penuh Arabnya ialah ‘Ilm aljabr wa’l muqabalah’ – iaitu sains penyatuan dan penyamaan. Sebagai ahli matematik, adalah wajar apabila al-Khawarizmi menggunakan istilah ini sebagai tajuk karangan ilmiah beliau tentang ilmu aljebra.


Kerja-kerja penterjemahan karangan al-Khawarizmi mengenai ilmu algebra ke dalam bahasa Latin telah dilakukan oleh Gerard dari Cremona dan Roberts dari Chester pada kurun ke 12 M. Hasil usaha mereka telah digunapakai di seluruh dunia sehingga ke kurun 16 M.
Pada tahun 1857 M, sebuah karangan ahli matematik Muslim terjemahan Latin telah dijumpai di perpustakaan Universiti Cambridge. Dengan tajuk ‘Algoritmi de Numero Indorum’, kata-kata aluannya dimulakan dengan ucapan:
“Bicara tentang Algoritma. Marilah menyampaikan segala pujian kepada Tuhan, Pemberi Hidayat dan Pelindung kita sekaliannya”.
Manuskrip ini adalah dipercayai salah satu salinan karangan al-Khawarizmi mengenai ilmu arithmatik. Dipercayai manuskrip ini telah turut diterjemah kebahasa Latin sekitar kurun ke 12 M oleh Adelard dari Bath (sarjana Inggeris). Nama al-Khawarizmi masyhur dalam sejarah matematik di dalam istilah Algoritma (nama lama arithmatik).
Kerja-kerjanya
(Ilmu Falak adalah di antara hasil khazanah peninggalan al-Khawarizmi kepada semua)
Al-Khawarizmi ialah seorang ahli matematik, kaji bintang dan geografi. Beliau merupakan salah seorang ahli matematik yang teragung, merintis beberapa cabang penting dan konsep-konsep asas matematik. Memetik kata-kata Phillip Hitti:
‘Pengaruhnya dalam menentukan arah pemikiran ilmu matematik adalah yang paling agung, lebih agung dari mana-mana ahli matematik silam’.
Hasil kerjanya dalam cabang ilmu aljebra amatlah mengkagumkan. Bukan setakat memperkenalkan kaedah penyelesaian tersusun dan bersistematik bahkan turut memberi analisis terperinci dalam kaedah-kaedah penyelesaian linear dan ungkapan quadratik, yang menjadikan beliau bapa ilmu algebra.
Hisab al-Jabr wal-muqabala mengandungi penerangan beliau mengenai konsep-konsep tersebut. Hasilnya, pengasas aljebra ini telah berjaya membuktikan bahawa ianya bukanlah cabang ilmu geometri, tetapi satu cabang ilmu tersendiri. Beliau turut menghuraikan kaedah penyelesaian ungkapan quadratik  secara geometri (dengan bantuan angka). Contohnya X2 + 10X = 39, ianya menjadi rujukan ramai penulis. Buku yang berjudul ‘Liber ysagogarum Alchorismi in artem astronomicam a magistro A. [Adelard of Bath] compocitus!’ mengandungi himpunan ringkasan ajaran al-Khawarizmi dalam bidang arithmatik, geometry, muzik dan astronomi; lebih dari sebagai kerja-kerja tulen.
Pada tahun 1126, Adelard telah menterjemahkan jadual-jadual astronomi dan trigonometri al-Khawarizmi yang disemak semula oleh Maslamati al-Majrti (pada pertengahan kurun ke 10 M). Ianya merupakan jadual trigonometri Muslim yang bukan setakat mengandungi fungsi sinus tetapi juga tangen (setelah dilanjutkan oleh Maslama).
Sumbangan beliau amatlah penting dalam perkembangan sains matematik. Ini diperolehi hasil pengetahuan mendalamnya dalam ilmu yang telah diterokai orang Yunani dan India serta kajian dan pengalaman beliau sendiri. Turut diperkenalkan ialah penggunaan angka sifar, satu konsep penting matematik yang dipelopori oleh orang Arab. Sistem perpuluhan turut diperkenalkan beliau. Maka bolehlah dikatakan sistem angka, algoritma atau arithmatik adalah hasil pemikiran dan kajian beliau. Beliau turut membangunkan beberapa kaedah arithmatik baru seperti kaedah pecahan dan operasi-operasi arithmatik terhadapnya. Dengan usaha beliau maka sistem angka yang lengkap ini diperkenalkan ke dalam dunia Arab dan kemudiannya ke Eropah melalui pelbagai terjemahan bahasa bangsa-bangsa di benua itu.
(Tugu al-Khawarizmi di Fakulti Matematik, Amirkabir University of Technology, Tehran, Republik Iran)
Hasil-hasil kerja beliau yang tidak kurang pentingnya ialah penyempurnaan rumus-rumus berkenaan seksyen kon dan kalkulus dua ralat – yang kemudiannya membantu beliau memperkenalkan konsep pengamiran dan pembezaan. Beliau menyelia dan menyelenggara kerja-kerja pemiawaian darjah ukuran yang dititahkan Khalifah al-Ma’mun bertujuan untuk menyukat isipadu dan ukurlilit bumi.

Apakah khazanah berdokumentasi hasil peninggalannya yang masih wujud?
Seperti yang sedia maklum, beberapa bukunya telah diterjemah ke bahasa Latin pada awal kurun ke 12 M. Bahkan buku berkenaan arithmatik berjudul ‘Kitab al-Jam’a bil Hisab al-Hindi telah hilang salinan bahasa Arab asalnya. Namun mujurlah masih terdapat terjemahan Latinnya. Selain bahasa-bahasa Eropah, jadual berkenaan astronomi beliau turut diterjemah ke bahasa Cina. Penulisannya tentang geografi dikarang dalam buku berjudul ‘Kitab Surat-al-Ard’ (Bentuk Mukabumi) turut diterjemahkan bersama-sama peta-petanya. Beliau turut menulis tentang takwim Yahudi berjudul Istikhraj Tarikh al-Yahudi dan dua buku lain tentang alat penentu kedudukan bintang. Ada dua buah bukunya yang telah hilang iaitu Kitab al-Tarikh dan Kitab al-Rukhmat (berkenaan dengan jam matahari).
Bagaimana sikap al-Khawarizmi terhadap kerjaya?
Al-Khawarizmi menekankan bahawa segala kerja-kerjanya adalah satu ibadat kepada Tuhan. Ini dilakukan sebagai satu usaha praktikal bagi menyelesaikan masalah berkenaan harta pusaka, warisan, pembahagian, saman dan perdagangan.
Apa sikap al-Khawarizmi terhadap pemberian Allah kepadanya?
Minat mendalamku terhadap ilmu sains,……….betapa dengan penuh sopan dan tertib serta keizinanNya terhadap ilmu ini memberi petunjuk kepada mereka yang merenung dan memikirkan. Betapa pantas dan segera Dia melindungi dan memberi pertolongan ketika dalam kekalutan dan  dengan segera mengangkat kesukaran, memberi semangat untukku mengarang tentang kira-kira secara al-jabr dan al-muqabala, dengan membatasnya supaya menjadi sesuatu yang mudah lagi memudahkan dalam ilmu arithmatik.

(Para astronomer hari ini menggunakan teknik peninggalan khawarizmi yang dilakukan penambahbaikan yang dipanggil interferometry)
[al-jabr bererti ‘mengembalikan’, merujuk kepada kaedah mengalihkan satu quantiti dari sebelah ke sebelah lain persamaan arithmatik; al-muqabala bererti ‘perbandingan’, merujuk kepada pengurangan jumlah yang sama dari kedua-dua belah persamaan]
Subhanallah….Hebatnya tokoh sarjana Islam terdahulu yang telah menyinari dunia sejagat dengan ilmu dan sumbangan kepakaran mereka. Bagaimana dengan kita?

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN