Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Kerajinan Sang Semut



Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan.
Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda S.A.W.
Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kerajinan, daya usaha yang tinggi serta kegigihan adalah suatu frasa yang hampir sama ertinya. Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti sebenarnya sebagai suatu aspek utama untuk mengorak kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan?
Berapa ramai dari kita yang menjadikan elemen rajin sebagai suatu unsur yang mesti ada dalam diri?
Terciptanya manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini adalah bukti kesempurnaan kejadian manusia. Jika kita bandingkan diri kita semua dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan, sudah tentu terdetik rasa bertuahnya diciptakan sebagai manusia yang sempurna tubuh, akal fikiran dan anggota lainnya.
Jika kita bandingkan diri kita dengan makhluk Allah bernama semut, pasti ada terlintas di fikiran bahawa semut adalah makhluk kecil yang lemah berbanding kita semua.
Semut adalah serangga bersaiz kecil dan halus tubuh badannya. Kekurangan tersebut langsung tida mendukacitakan sang semut kerana mereka hidup dalam suatu komuniti yang besar, bersatu padu dan saling bekerjasama. Kegigihan sang semut sememangnya mengatasi manusia dan ini seharusnya menjadi pedoman dan pengajaran buat insan yang berfikir.
Lihatlah bagaimana mereka meguruskan kehidupan harian dengan begitu rajin. Jika mencari makanan, mereka akan meredah segala pelusuk yang menempatkan makanan meskipun lokasinya amat jauh dari sarang.
Cubalah anda menyelusuri seekor semut dari saat dia keluar untuk mencari makanan hinggalah pulang ke sarangnya. Pasti anda akan mendapati kesungguhan yang luar biasa dan tanpa putus asa yang ada pada sang semut.
Kata seorang sarjana Barat, Henry W. Beecher,
"Satu jam yang tekun dan insentif, adalah jauh lebih baik dan menguntungkan daripada mimpi dan termenung yang bertahun lamanya."
Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh sang semut selari dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." [An-Najm:39]
Dikisahkan Nabi Sulaiman A.S sedang berehat di luar Istana lalu baginda ternampak seekor semut yang sedang merayap di atas seketul batu. Baginda berasa kagum bagaimana semut itu boleh hidup di atas batu-batu yang kering di tengah-tengah padang pasir itu.
Disebabkan ingin membantu semut tersebut, Baginda menyediakan sebuah rumah kecil dengan bekalan makanan gandum didalamnya. Selepas semut itu bersetuju, maka tingallah ia di dalam di dalam rumah kecil berisi bekalan gandum itu.
Selepas sebulan lamanya, gandum itu hanya tinggal sedikit. Semut tersebut menjelaskan kepada Baginda kenapa ia lebih senang hidup di luar daripada dipelihara. Ini kerana ia bimbang Baginda akan terlupa memberinya makan kerana kebiasaannya jika di luar sana, sang semut akan makan sebiji gandum atas daya usaha dan kerja kerasnya.  
Tetapi sebaik sahaja Nabi Sulaiman memasukkannya ke dalam rumah tersebut, sang semut menyatakan bahawa ia cuma dapat makan setengah gandum sahaja supaya bekalan itu mencukupi untuk sebulan lagi.
Akhirnya Nabi Sulaiman akur bahawa usaha dan ikhtiar yang kuat sang semut dapat menjana kekuatan hidupnya. Benarlah apa yang dikatakan dalam buku Success Acceleration karya Tony Jeary:
"Bersikap optimis dan positif bukanlah hanya suatu tindakan, gimik atau formula ajaib yang perlu dilakukan apabila perlu. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang mesti dibangun dan diamalkan sehingga ia menjadi suatu kebiasaan (a nature of response). Justeru mulai saat ini, jadilah seorang yang optimis sepanjang masa."
Sang semut menjalankan tugasnya dengan dua elemen yang penting yang boleh kita contohi iaitu 'focus' dan 'priority' (keutamaan). Sang semut sentiasa fokus iaitu memberi tumpuan kepada kawasan sumber makanan lalu melaksanakannya dengan ikhtiar yang tinggi untuk mendapatkan makanan tersebut.
Prioroti sang semut pula menekankan kepada kesesuaian kawasan sumber makanan untuk mereka perolehi. Sebaik sahaja sang semut mengenalpasti kawasan yang ingin dituju, maka segerombolan semut akan melakukan operasi mencari makanan tersebut.
Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya. Kerana sikap itulah, sang semut jarang sekali atau mungkin tidak pernah pulang ke sarang dengan tangan kosong!
 Hakikat ini disokong oleh Presiden Indonesia pertama, Sukarno ada menyatakan,
"Orang yang rajin lebih berharga daripada seorang raja."
Wallahua'lam.   By:kkrek

Kenapa Anda Tidak Solat?


Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak cukup masa la. Keje saya banyak. Saya memang busy memanjang.
Pengajaran: Masa itu adalah pinjaman dari Allah S.W.T, bila-bila pun Dia boleh ambil semula waktu yang dipinjamkan, maka beringatlah, walau sibuk sekalipun, luangkanlah masa sekurang-kurangya lima minit, lima kali sehari untuk bersolat.
Situasi 2
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya rasa diri saya dah terlalu banyak buat dosa. Kalau saya solat, mahukah Allah terima ibadat saya tu?
Pengajaran: Allah S.W.T itu Maha Pengampun. Jika kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah S.W.T nescaya ibadat kita akan diterima Allah S.W.T. Insya-Allah.
Situasi 3
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya tak tau cara-cara nak solat. Mak ayah saya tak pernah ajar sebab mereka pun tak solat.
Pengajaran: Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk di jadikan sempadan.
Situasi 4
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Suka hati sayalah. Kubur masing-masing. Tolong jangan jaga hal saya.
Pengajaran: Terimalah teguran positif dengan hati yang terbuka, supaya diri kita sentiasa berubah menjadi lebih baik.
Situasi 5
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Saya penatlah. Saya btul-btul tak larat. Boleh tak saya solat esok je?
Pengajaran: Sepenat-penat kita, janganlah kita tinggalkan solat kerana setiap perbuatan kita dicatat oleh Malaikat di bahu kiri dan kanan kita.(Malaikat Raqib & Atid)
Situasi 6
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Sebab saya memang dah biasa macam ni. Rileklah. Alim sangatlah awak ni. Tak rugged lansung!
Pengajaran: Jangan lupa, bumi yang dipijak ini milik Allah S.W.T. Bila-bila masa dia boleh 'gulung' bumi ini.
Situasi 7
Soalan: Kenapa awak tak solat?
Jawapan: Alah nantilah aku solat. Aku muda lagi. Nanti tua aku taubatlah.
Pengajaran: Kita tidak tahu ajal kita bila. Boleh jadi hari ni, esok, lusa? Sekiranya gugur sahaja daun kita dari pokok yang terletak di Arash Allah S.W.T, maka bersedialah Izrail untuk memanggil kita pulang. Persoalannya, BERSEDIAkah kita ketika itu?
Pernah jumpa tidak situasi di atas?
Pernah atau tidak pernah, itulah jawapan-jawapan lazim yang biasa kita dengar dari masyarakat Islam. Islam mungkin hanya pada nama, ataupun mgkin saja hanya pada ic,ataupun hanya pada pegangan.
Berpegang pada kefahaman Islam, tetapi tidak solat. Mungkin mereka terlupa bahawa, solat itu adalah tiang agama. Jangan kita kita lupa berterima kasih kepada Pencipta yang dtgkan kita ke dunia ni.
  • Terlalu sibuk dengan aktiviti harian hingga terlupa adanya Allah S.W.T.
  • Terlalu penat bekerja cari rezeki hingga terlupa, rezeki itu pemberian Allah S.W.T.
  • Asyik berfikir tentang dosa yang sudah dibuat, hingga terlupa mahu fikir, apa amal yang belum buat. Asyik risau tentang ibadat yang bakal dibuat, takut tidak diterima, sedangkan ibadat tersebut, belum cuba dibuat.
  • Sibuk mahu menuding jari tentang keburukan orang, hingga lupa yang diri sendiri pun sudah cukup baligh untuk berfikir mana yang baik ataupun yang buruk.
  • Terlalu marah fikirkan orang cuba masuk cmpur hal peribadi, hingga lupa, soalan itu merupakan teguran supaya tidak tergelincir dari landasan yang asas.
  • Asyik fikirkan diri yang penat, hingga lupa hendak terima kasih pada Allah S.W.T.
  • Terlalu sibuk mahu ruggedkan diri, smpai lupa bumi 'rugged' yang dipijak tu bumi Allah S.W.T.
  • Terlalu asyik fikirkan yang hidup muda ini untuk enjoy, yakin hidup sampai ke tua?
Islam bukan hanya suatu pegangan mahupun kefahaman, malah Islam adalah suatu cara hidup yang tidak akan lapuk biarpun Islam wujud sejak zaman dahulu. Islam tidak akan berubah mengikut peredaran zaman ataupun teknologi.
Se'rugged' mana pun kita, janganlah kita lupa, kita ini datang daripada Allah S.W.T dan kepada Allah S.W.T juga kita akan kembali. Ke mana perginya roh-roh kita setelah kita meninggal dunia?
Tempat tinggal roh.
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat":
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari Kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat.
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya":
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Kelompok manakah kita?
Bersediakah kita menghadapi kematian?
Menghadapi hari pengadilan?
Semoga kita sentiasa ditunjukkan jalan yang benar dan dijaukan dari segala kemungkaran. Insya-Allah.
-Artikel islam itu indah    By:kkrek


Tulisan ini sekadar perkongsian ilmu. Ia berlaku kepada saya dan suami sekitar jam 6.30 petang pada 29 Mac 2011. Lokasi kejadian di Restoran Enak (bukan nama sebenar).
Sejak setahun yang lepas, saya dan suami berulang alik dari Janda Baik, Pahang ke tempat kerja di Putrajaya. Kami menggunakan Lebuhraya KL-Karak dengan kadar tol pergi dan balik berjumlah RM10. Rutin perjalanan yang sama, ada kalanya membuatkan saya ingin mengalih angin. Lantas, saya menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong pada hari tersebut. Jaraknya lebih jauh dan masanya lebih lama berbanding menggunakan lebuhraya. Namun, pemandangan sepanjang perjalanan menjentik rasa damai dihati. Saya mendapat pengalaman baru sepanjang perjalanan itu.

Kami mengambil keputusan untuk singgah di sebuah restoran makanan. Makanan dan minuman yang dipesan tiba seperti biasa. Kelihatan beberapa pengunjung singgah di situ. Sesudah makan, kami pun membayar harga makanan dan minuman tersebut di kaunter pembayaran.
"Dik, berapa harga makanan tadi?"
"Jumlah harga RM26.00."
Saya menghulurkan RM50.00. Namun, apabila dipulangkan baki, hanya RM21.00 yang saya dapat. Mustahil ianya satu kesilapan kerana jumlah harga diulang sekali lagi oleh saya semula dan disahkan oleh juruwang. Mustahil juga juruwang tersilap memulangkan bakinya kerana pada logik akal saya, pasti tidak akan berlaku kesilapan setakat mengira wang RM1.00 sebanyak empat keping sahaja.
Walaupun saya tidak berpuas hati, atas alasan tidak mahu memalukannya atau mungkin dia memang berniat tidak baik, kami terus berlalu. Saya masih tidak berpuas hati. Katakanlah setiap makanan berharga RM5.50 atau RM 6.00, jumlah harganya tidak akan menjadi RM29.00. Masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap makanan berharga RM4.50. Perjalanan diteruskan dan saya cuba melupakan perkara ini.
Pada keesokan paginya, sudah menjadi rutin harian saya untuk mendengar segmen tafsiran Quran di Radio IKIM fm. Kali ini Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed menceritakan riwayat orang soleh yang disegani. Beliau beria-ia mempertahankan duitnya yang sedikit berbanding dengan duitnya yang banyak sebelum ini. Apabila ditanya, kenapa beliau bertindak begitu, beliau menjawab, duit yang sedikit ini jelas duitnya dan dia mempertahankannya supaya orang ini tidak memakan duit haram, manakala duit yang banyak sebelum ini diragui olehnya bukan miliknya, makanya dibiarkan orang itu memiliki duit tersebut.
Akhirnya saya sedar, saya telah bersikap zalim dengan pekedai itu. Saya tidak menegur kesilapannya dan membiarkan dia mendapat duit haram. Malah, saya berburuk sangka dengannya. Kemungkinan dia melakukan kesilapan kerana terlalu penat. Alasan saya untuk tidak memalukannya adalah tidak tepat. Seharusnya saya terus menegurnya supaya kesilapan tidak berulang. Saya perlu mempertahankan wang RM3.00 saya kerana ianya memang milik saya.
Saya juga berbuat silap. Oleh itu, saya halalkan RM3.00 itu supaya tidak menyusahkan kehidupan pekedai itu. Niat untuk tidak berkunjung lagi ke restoran itu, saya usir jauh dari hati. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada saya dalam setiap langkah kehidupan menuju ke jalan Ilahi. Semoga Allah sentiasa bersama saya.
-30 Mac 2011
Manusia, mudah lupa dan leka. Saya terlupa, perkara yang pernah saya coretkan. Saya pernah memberi pinjaman kepada seorang rakan. Dia menghubungi saya lewat telefon. Apabila mendengar suaranya yang sayu dan masalahnya yang kekurangan wang, hati saya dihambat rasa kasihan. Lantas saya memberi RM100.00 sebagai pinjaman kepadanya. Dia amat berterima kasih kepada saya dan berjanji akan memulangkan wang tersebut. Namun, janji tinggal janji. Setelah tiga bulan berlalu, dia cuma diam seribu bahasa. Saya tertanya-tanya, mengapa dia masih belum membayar hutang. Bukankah gajinya sudah tiga kali masuk, berserta setengah bulan bonus lagi? Kenapa? Hati menjadi berat apabila memikirkannya.
Saya tidak menceritakan perkara ini kepada rakan sekerja yang lain. Bagi saya, hutang adalah satu isu yang kurang baik diceritakan. Saya juga tidak mahu mengingatkannya kerana bimbang dia akan mendapat malu. Saya cuba bersangka baik. Mungkin keadaannya tidak mengizinkan.
Namun, hati saya masih tertanya-tanya. Mengapa dia mengambil ringan hal hutang piutang ini? Mengapa tidak menulis nota ringkas sebagai peringatan? Hati saya tidak mampu redha dengan sebenar-benarnya. Lantas, saya berkongsi beban perasaan ini dengan suami. Suami mengingatkan saya tentang coretan saya pada 30 Mac 2011 dahulu. Suami bertanya, adakah saya ingin menyusahkan kehidupannya di akhirat nanti? Saya perlu berjumpa dengannya,  mengingatkan semula akan hutangnya. Saya patut berusaha untuk mendapatkan hak saya. Mungkin dia benar-benar terlupa. Bukankah dia manusia biasa? Adakah saya ingin membiarkan dia malu di hadapan Allah nanti? Adakah saya mahu berlaku zalim padanya di akhirat nanti?
Seandai saya tidak mahu menzaliminya di akhirat nanti dan tidak mahu memalukannya di dunia ini serta tidak ingin menyusahkannya untuk memulangkan kembali RM100.00, maka halalkanlah dengan seredha-redhanya. Nota ringkas yang saya tampal pada kalendar meja di pejabat, saya renyuk dan buangkannya. Kosongkan hati dan minda seluas-luasnya.
Rezeki Allah pelbagai bentuk, ilmu Allah seluas lautan, kasih sayang Allah tidak bertepian. Syukur pada Allah diberikan lagi ilmu dalam usaha mendidik hati yang lemah ini. Hendak mendidik hati bukan perkara mudah. Hati perlu disakitkan, nafsu perlu ditundukkan sekiranya kita ingin mencari kehidupan yang hakiki. Ya Allah, aku memohon pada-Mu Ya Allah, walau apa pun takdir yang telah Engkau tetapkan untukku, aku mohon pada-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman aku ini, matikanlah aku dalam agama-Mu Ya Allah, semoga Engkau sentiasa bersamaku. Amin

Nikmat malam sepuluh akhir Ramadhan


Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada hari-hari terakhir Ramadhan daripada kita mensia-siakan baki sepuluh akhir Ramadhan.


Ini kerana kita tidak pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak menyambut Ramadhan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahala pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadar :
Maksudnya : "Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu,  turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ). Sejahteralah malam (yang barakah ) itu hingga terbit fajar".
(Surat al-Qadar ayat :1-5)
Kita akan merasa kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan kepada kita iaitu malam Lailatul Qadar. Kerana segala amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, ganjaran  berlipat kali ganda. Janganlah kita seolah-olah merasakan amal ibadah kita telah banyak sehingga mengabaikan malam tersebut.
Malam Lailatul Qadar adalah malam untuk kita melipatgandakan amal ibadah dan mengumpul sebanyak-banyaknya pahala sebagai bekalan ketika bertemu Allah di Akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipatgandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal. Dalam sebuah hadis ada menyatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata :
"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
( Hadis Riwayat Bukhari )

Pencarian Lailatul Qadar Bermula


KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadhan yang dirindui oleh para kekasih Allah S.W.T. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadhan yang menandakan Ramadhan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.


Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada. Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat Ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya. Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.
Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadhan dan Aidil Fitri yang belum selesai. Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadhan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadhan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadhan yang sedang kita lalui ini.
Keutamaan lailatul qadar
Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadhan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar. Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.
Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah S.W.T yang 'haram' dilepaskan. Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.
Benarlah pesan Rasulullah S.A.W bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan (daripada mendapat segala kebaikan)".
Memang Lailatul Qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana Lailatul Qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu. Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang. Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama Lailatul Qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.
Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut. Oleh itu memburu Lailatul Qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah S.W.T kepada kita.
Mendapatkan lailatul qadar
Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, Lailatul Qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha. Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah S.A.W sendiri dan para ulama pewaris Baginda S.A.W tentang mengenalpasti malam Lailatul Qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.
Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadhan.
Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya Lailatul Qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya. Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, Lailatul Qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadhan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.
Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan Lailatul Qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.
Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam Lailatul Qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba/ bahagian daripadanya (Lailatul Qadar)".
Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan Lailatul Qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut. Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan Lailatul Qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadhan.
Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai. Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi S.A.W untuk Lailatul Qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, sukakan keampunan maka ampunilah aku".
Walaupun pintu untuk kita menghayati Lailatul Qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadhan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam. Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadhan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati Lailatul Qadar.
Menghantar Pulang Tetamu Agung
Ramadhan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi. Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.
Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah S.W.T selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah S.W.T menerima amalan mereka di bulan Ramadhan yang berlalu.
Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadhan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadhan kali ini bersisa sedikitpun. Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadhan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.
Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".
"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
( Hadis Riwayat Bukhari )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN