Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Tepuk dada tanya Iman.
Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.
Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.
Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.
Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.
Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.
Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.
Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.
Hakikatnya kini, bercinta itu sudah menjadi satu "trend" dalam kehidupan kita. Kita lebih cenderung mengelaskan mereka yang kononnya yang tidak bercinta atau 'couple' itu kolot, ketinggalan zaman atau mungkin juga tidak laku. Hal ini menyebabkan kita berasa malu dan mula ketagih untuk bercinta.
Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.
Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?
Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.
Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?
Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.
Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.
Perbuatan kita ini bukan sahaja menodai cinta itu sendiri tetapi juga menconteng arang ke muka kedua-dua ibu bapa kita. Usah mencipta kenikmatan seketika, kelak bias meruntuhkan maruah sendiri.
Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.
Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.
Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?
Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?
Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.
Cinta itu menghayalkan. Cinta itu membuat kita alpa tentang segalanya. Lupa dunia, lupa Akhirat. Begitulah cinta itu. Kadang-kadang cinta itu sesuatu yang nikmat tetapi awas. Disebabkan cinta, kita sebagai manusia hilang maruah diri dan pengangan agama entah ke mana. Yang menanggungnya kita. Bukan oang lain.
Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.
0 pendapat:
Post a Comment