Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Ketika Kasih Sayang Bertaut..


Alang menyedut rokok daun sedalam-dalamnya sambil bersandar di dinding rumahnya yang di perbuat dari buluh. Seketika kemudian, asap rokok itu dihembus keluar dari rongga pernafasannya. Asap yang pada mulanya berkepul-kepul itu akhirnya menipis di udara dan akhirnya menghilang. Isterinya Tina sedang menyental pucuk ubi kayu yang baru di rebusnya bagi menyediakan lauk tengah hari mereka. Sambil menghancurkan pucuk ubi itu, dia merebus pula terung manggoi untuk dimasak bersama pucuk ubi nanti. Dia menghalakan wajahnya ke muka pintu. Terik mentari menyinari wajahnya.
 “Masih belum sampai lagi anak-anak. Sudah tengah hari! Mungkin petang nanti mereka sampai.”
 “Tak sabar sungguh apak menunggu anak! Bukan kah jauh jarak perjalanan. Sabar saja. Nanti sampai lah mereka.” Isterinya pula membalas.
“Iyalah Tina.” Rokok yang dihisapnya tadi sudah pun habis.
 Dia melontarkan puntung rokok melalui jendela rumahnya. Otaknya ligat memikirkan saat kedatangan sebuah land cruiser kepunyaan ABIM beberapa hari yang lampau. Kata mereka, ada sekumpulan anak-anak pelajar dari Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian ingin datang ke kampung mereka untuk program anak angkat dan membuka klinik bergerak bagi merawat kesakitan orang kampung.
 Tentu sahaja Alang berasa gembira apabila ditawarkan untuk menerima anak angkat. Masakan tidak, perjalanan dari Kuala Betis dan Tohoi ke Pos Simpor mengambil masa selama hampir empat jam dengan menaiki Hillux atau Land Cruiser. Laluan yang menggunakan jalan balak itu cukup mencabar sekali kerana sempit. Ada bukit yang hampir sahaja menegak dan ia cukup berbahaya sekali untuk dinaiki. Andai tidak bernasib baik, akan ada sahaja tanah runtuh yang berlaku. Alang berdoa pada roh nenek moyangnya agar hari tidak hujan kerana dia tahu bahawa jalan ke Simpor pasti tidak dapat dilalui jika hujan. Tanahnya terlalu licin dan kenderaan bisa sahaja terbabas ke dalam gaung dalam di tepi laluan balak itu.
Di sebalik kegembiraannya, Alang berasa bimbang juga. Takut kalau-kalau dia tidak mampu menyediakan layanan terbaik buat anak-anak angkat mereka nanti. Dia masih teringat bahawa dua tahun dahulu, ada juga rombongan orang luar datang untuk program anak angkat. Dia sedikit berasa hati apabila anak-anak angkat tidak mahu menjamah makanan yang dimasak Tina. Biarpun mereka memberi alasan tidak lapar atau sudah makan di Surau, tetapi bagi orang asli, mereka sedikit terhina jika makanan yang dihidang tidak disentuh tetamu. Mungkin juga orang luar berpandangan bahawa mereka kotor dan masakan mereka tidak sedap. Takut juga andai mereka berpandangan bahawa makanan mereka tidak ubah seperti makanan cuak (anjing).
 Selain itu, dia juga tertanya-tanya apa motif mereka ingin bertandang ke Simpor. Tambahan pula mereka datang bersama ABIM yang selalu datang berdakwah untuk mengajak mereka memeluk Islam. Beberapa tahun dulu, ada pendakwah yang entah dari kumpulan mana datang ke Simpor untuk berdakwah. Kata mereka, Islam agama yang betul dan diterima oleh TUHAN. Bukan Alang tidak mahu menerimanya, tetapi dia sayang akan adat sewang tinggalan nenek moyangnya.
Kalau jadi Islam nanti, sudah tidak boleh bersewang untuk tujuan menghantar dan memanggil roh hutan. Tambahan pula, pakaian pendakwah itu yang berjubah membuatkan dia berfikir bahawa itulah pakaian yang harus dipakainya nanti. Bagaimana dia ingin memburu tupai di hutan atau memanjat pokok untuk mengambil madu andai terpaksa memakai pakain tersebut. Bolehkah juga dia menjalankan ibadat orang islam seperti bersembahyang sebanyak lima waktu.
 Ah. Kalau anak angkat datang nanti, aku tipu sahaja mereka dengan mengatakan bahawa aku sudah Islam. Tentu mereka tidak akan bercerita panjang tentang agama padanya nanti.
 “Alang. Mari makan nasi dulu. Nanti sejuk tidak sedap.” Panggilan Tina menghentikan lamunannya.
“Kamu panggil Andak, Hitam dengan Betty makan sekali.” Arah Alang pada isterinya agar membawa anak-anak mereka makan bersama.
Mereka cukup berselera sekali menjamah hidangan tengah hari itu. Bagi mereka, hidangan nasi dengan sayur pucuk ubi campur terung manggoi bersama dengan Ikan Tengas goreng sudah cukup mewah. Dua pinggan nasi boleh habis dalam masa yang cukup sekejap sahaja. Selesai makan, Alang berehat di ruang tamu. Hasratnya untuk ke hutan bagi mencari Tongkat Ali dan kacip fatimah dibatalkan sahaja kerana menunggu ketibaan anak angkat mereka.
 *******
Matahari sudah mula menyembunyikan diri sewaktu Amat datang menurutnya di rumah. Kata Amat, anak-anak angkat sudah datang dan mereka mesti berkumpul di dewan untuk sesi penyerahan anak angkat. Seramai 11 keluarga dari 22 keluarga penduduk Simpor bersetuju untuk menerima anak angkat. Penduduk lain pula enggan menerima anak angkat kerana risau kedatangan mereka adalah untuk memaksa mereka memeluk Islam.
Alang dan Tina bergegas turun dari rumah mereka untuk menuju ke dewan yang terletak sejauh kira-kira lima minit perjalanan. Andak dan Hitam dari tadi lagi tiada dari rumah. Mungkin mereka bermain di sungai. Betty yang baru berusia setahun itu pula dikendong oleh isterinya.
 Di dewan, kelihatan rakan-rakannya yang lain sudah mula memenuhi kawasan sekitar. Lima buah land cruiser, sebuah lori dan empat buah land rover disusun dengan kemas di tepi dewan. Kenderaan itu membawa sejumlah 36 orang peserta. 30 pelajar USM dan 6 orang ahli ABIM. Ayah Man yang merupakan wakil dari ABIM memanggil semua keluarga angkat dan pelajar USM untuk masuk ke dalam dewan bagi sesi pembahagian anak angkat. Majlis berlangsung dengan sederhana tetapi meriah dengan sorakan dan tepukan tangan dari para hadirin yang begitu teruja sekali kerana mendapat keluarga baru.
30 minit kemudian, majlis tamat dan tibalah masa untuk anak-anak angkat berkunjung ke rumah keluarga angkat masing-masing. Alang mendapat tiga orang anak angkat, dua perempuan dan seorang lelaki. Kesemua mereka bergegas pulang ke rumah. Anak-anak angkatnya pula membimbit sedikit buah tangan berupa teh, biskut dan gandum.
 *******
“Bagaimana perjalanan anak-anak tadi? Seronok tak?” Tegur Alang sewaktu mereka bersila di ruang tamu. Tina pula sedang membancuh air kopi sambil di bantu oleh Syakira yang merupakan salah seorang peserta program.
“Satu pengalaman baru Apak. Kali pertama datang sini. Teruja sangat-sangat.” Jawab Anas penuh semangat.
 “Cantik pemandangan sepanjang laluan datang sini. Bukit bukau yang cantik, pepohon yang menghijau dan burung pelbagai warna yang berterbangan bebas. Sungguh menakjubkan Apak. Udaranya juga segar dan jauh dari kesibukan bandar.” Sambung Shahila pula.
“Iya Apak. Betul tu. Empat jam naik land cruiser. Jalannya yang berlubang-lubang dan berdebu itu sungguh mencabar. Ada masa kami semua terpaksa berjalan kaki sebab kudrat kenderaan tidak kuat untuk mendaki bukit. Tadi sahaja, sebiji land cruiser kami terbalik. Nasib baik semua selamat.” Anas pula semakin bersemangat untuk bercerita.
 “Minum kopi dulu. Lepas tu sambung cerita lagi.”Tina bersuara dari dapur sambil berjalan dengan membawa air kopi. Syakira pula membawa sepinggan biskut kering yang dibawa mereka tadi.
“Terima kasih amek. Mesti sedap kopi yang Amek buat ni. Sayang Amek.” Usik Anas dengan manja. Tina tersenyum mendengar pujian tersebut. Memang orang asli suka di puji. Senyuman mereka melebar hingga ke telinga jika dipuji oleh orang luar. Anas mengirup kopinya dan memuji berkali-kali rasa kopi tersebut. Alang hanya tersenyum melihat telatah anak angkatnya itu. Dia sudah menganggap anak-anak angkat nya itu seperti anak kandung sendiri. Sayang sudah pun bertaut pada mereka semua. Dia gembira dengan kemesraan anak-anaknya itu.
“Tidur sahaja di rumah Apak malam nanti,” pelawa Alang ikhlas.
“Wah seronoknya kalau macam tu.” Jawab Anas.
“Tapi sayang kan Anas. Kami tidur di Surau aja Apak. Sebabnya banyak lagi program. Tambahan pula, senang untuk kami melakukan perbincangan apa-apa nanti.” Syahila pula membalas dengan wajah sedih.
 “Iya lah apak. Apak jangan salah faham pula! Bukan kami tak sudi. Nanti esok pagi-pagi lagi kami datang rumah Apak,” ujar Anas serba salah.
 “Malam ni ada program apa? Tanya Amek ingin tahu.
 “Erm, malam ini kami akan solat maghrib dan isyak. Antaranya pula ada ceramah daripada ustaz. Lebih kurang jam sembilan malam, ada makan-makan. Nanti saya datang jemput Amek dengan Apak bila kami sudah mula makan.” Terang Anas dengan panjang lebar. “
Oh. Tak perlu susah-susah Anak. Nanti apak dengan amek pergi terus sahaja. Boleh bawa adik-adik sekali tak?” Soal Alang dengan perasaan gembira.
“Eh mesti la boleh Apak. Tak kan tak boleh pula. Tapi, takut Apak terasa pula sebab nanti kami bercerita tentang Islam,” ujar Anas sambil menghirup kopi yang begitu segar.
“Tak apa, kami juga mahu dengar apa yang dicakap oleh Ustaz nanti,” kata Apak sambil tersenyum kerana sangat puas melayan anak-anak angkat barunya.
 *********

Alang terjaga dari tidur nya cukup awal sekali. Matahari masih belum naik dan kegelapan masih menyelubungi perkampungan Simpor. Entah mengapa dia merasakan seolah-olah ada satu getaran pada dirinya. Dari jauh, sayup-sayup kedengaran bunyi azan dari Surau.
Sudah dua tahun azan tidak berkumandang di Surau walaupun ada penduduk yang beragama Islam. Maklumlah mereka tidak tahu langsung untuk bersolat. Islam mereka hanya pada nama sahaja. Entah mengapa hatinya berasa sayu. Dia tidak faham akan maksud seruan azan itu. Tapi, ia begitu menggetarkan jiwanya. Dadanya berombak menahan sebak. Mungkinkah sesuatu akan berlaku.
Bicara ustaz tentang keindahan islam pada malam tadi juga turut menarik minatnya dan isteri. Dia turun dari rumah dan berjalan pantas menuju ke surau. Dalam kegelapan malam, dia duduk membatu sambil matanya liar memerhati kelakuan pengunjung dari USM menjalani ibadat solat mereka. Usai solat, kelihatan anak angkatnya memberikan tazkirah kepada para hadirin.
Sahabat yang disayangi. Ingatlah kedatangan kita ke sini adalah untuk memberi kasih sayang kepada keluarga orang asli di sini. Di samping itu, kita ingin merasai pengalaman baru dengan mengikuti aktiviti harian mereka. Selain itu, jangan kita lupa untuk mengajar keluarga yang sudah islam tentang cara-cara bersolat. Bagi yang mendapat keluarga angkat bukan Islam, jangan pula kalian memaksa mereka memeluk Islam. Ia adalah sesuatu yang dilarang dalam agama.
Berkasih sayanglah dengan mereka kerana Tuhan sukakan perbuatan ini. Alang terdiam mendengar ucapan anaknya itu. Sangkaan dia meleset. Rupanya, mereka bukan datang untuk memaksa mereka memeluk islam tetapi untuk merasai kehidupan di kampung orang asli. Dia berasa insaf dengan sangkaan buruknya itu.
********
“Selamat pagi apak, Amek.” Kedengaran suara ketiga-tiga anak angkat Alang dan Tina memecah kesunyian pagi.
Kopi dan Ubi Pesaud telah pun disediakan awal-awal bagi menyambut kedatangan anak-anak mereka. Mereka sudah diberi taklimat oleh Amat bahawa anak-anak angkat akan menghabiskan masa selama tiga hari untuk mengikuti aktiviti keluarga angkat. Di hari terakhir mereka di sini, mereka akan membawa para doktor untuk memeriksa kesihatan mereka.
Alang sudah pun mengasah tajam-tajam parangnya kerana ingin membawa anaknya mencari herba di hutan. Jika bernasib baik, mereka akan menemui tongkat Ali, kacip fatimah, bunga pakma dan kulat yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ubat-ubatan itu akan diberi sebagai buah tangan kepada anak-anaknya itu.
“Masuk dulu Anak-anak. Minum kopi dan makan ubi pesaud.” Laung Tina dari dapur.
 Ketiga-tiga mereka pantas naik ke rumah sambil membawa makanan lagi. Ada beras, daging, sardin dan telur.
 “Wah, kemarin sudah bawa makanan.” Tegur Tina lagi.
“Itu kemarin Amek. Ini untuk buat masak hari ni. Nanti kita makan bersama-sama.” Ujar Syakira.
Tina hanya tersengih. Sementara itu, anak-anak yang lain sudah pun mula menjamah sarapan pagi.
“Apak nak pergi mana nanti? Saya mau ikut?” bicara Anas walaupun mulutnya masih berisi ubi.
“Hari ini bapak mahu pergi cari akar kayu di hutan. Mahu ikut?” Alang mengajak anak-anak angkatnya dengan nada bersungguh.
“Eh mesti la apak. Nak rasa kehidupan di hutan,” ujar Anas seakan tidak sabar lagi ingin mengumpul pengalaman memasuki hutan orang asli.
 “Kami pun nak pergi juga.” Sampuk Shahila pula.
 ********
“Cantik sungguh langit tu ye Apak. Hebat betul Tuhan mencipta langit itu. Paling hebat apabila langit tidak bertiang. Hebat betul Tuhan yang mencipta langit tersebut.” Anas memecahkan kesunyian sewaktu mereka sedang berehat setelah selesai mencabut dua batang pokok tongkat ali.
Alang tersentap mendengar kata-kata tersebut. Hatinya berdebar lagi. Kata-kata anaknya itu memang benar sekali. Hebat sungguh pencipta langit tersebut.
“Hutan yang luas ini pula penuh dengan hasil hutan yang mujarab seperti tongkat ali, kacip fatimah dan lain-lain. Banyak pula haiwan yang diburu. Semuanya untuk kita! Banyak sungguh nikmat yang Tuhan berikan ini,” terang Anas lagi.
Alang mengakui di dalam hati akan kebenaran kata-kata anaknya itu. Entah mengapa, hatinya dirasakan cukup lembut sekali mendengar tutur bicara Anas. Mungkinkah kerana kasih sayang mereka sudah bertaut.
“Anak, jom pulang, dah banyak akar kayu kita dapat. Balik tolong Amek masak pula. Nanti boleh makan sama-sama.” Kata Alang memecah kesunyian yang datang tiba-tiba setelah Anas berkata-kata tadi.
***********
 “Apak! Saya ada benda nak minta izin apak.” Tegur Anas perlahan sewaktu mereka berehat di ruang tamu. Syakira dan Syahila pula sedang membantu amek memasak di dapur.
 “Ada apa anak?” sampuk Alang pula.
“Kami nak minta izin untuk bersembahyang di rumah apak boleh? Kami semua beragama Islam. Jadi kami kena sembahyang untuk mengingati Tuhan dan berterima kasih pada-NYA." Anas meminta izin dengan penuh sopan.
 “Sembahyang aja kalau macam tu. Lepas sembahyang kita makan.” Alang mengambil pisau dan menajamkan batang bertam yang dikerat sebesar lidi bagi dijadikan peluru sumpit.
Sambil itu matanya sesekali dikerling pada perbuatan anak-anaknya yang sedang solat di ruang tamu. Perbuatan itu menarik minatnya walaupun dia tidak faham akan perbuatan tersebut. Selesai bersolat, Anas membaca pula doa dalam bahasa melayu dengan sedikit kuat. Syakira dan Syahila pula khusyuk mendengar doa Anas.
 “Ya Allah. Aku bersyukur pada-MU kerana menemukan aku dengan Apak dan Amek. Kami sayang dengan Apak dan Amek kami. Ya Allah, engkau limpahkanlah rezeki untuk mereka. kurniakanlah kesihatan yang baik pada mereka. Jauhkan mereka dari bahaya dan engkau sayangi mereka seperti mana kami menyayangi ibu-bapa kandung kami. Amin.”
Air mata Alang bercucuran jatuh sewaktu mendengar bait-bait doa yang diucapkan oleh anaknya itu. Sungguh dia tidak menyangka bahawa anaknya itu berdoa dengan Tuhan untuk keselamatan dan kesejahteraan orang asli kafir sepertinya. Hatinya semakin kagum dengan agama Islam.
“Apak jom kita makan.” Pelawa Anas pada Alang.
Alang segera menyembunyikan wajahnya kerana tidak mahu anaknya melihat dia menangis. Dia tidak mahu hal tersebut diketahui anaknya. Mereka segera menikmati makan tengah hari dengan penuh berseleranya. Alang berasa gembira sekali kerana anak-anak angkat barunya ini tidak berasa geli untuk makan di rumah mereka. Tentu sekali dia berasa teruja apabila melihat Anas menambah nasi. Syakira dan Syahila pula makan lauk dengan berselera sekali. Alang tahu, perempuan tidak makan banyak. Oleh itu, dia sudah gembira hanya dengan melihat anak perempuannya itu makan.
Usai makan, Alang bertanyakan sesuatu pada anaknya. Dia ingin tahu mengapa ada sesetengah orang luar yang tidak mahu makan di rumah orang Asli. Anas hanya tersengih dan memberitahu bahawa kemungkinan besar mereka takut sekiranya pinggan yang digunakan untuk makan itu juga digunakan untuk mengisi babi. Alang ketawa berdekah-dekah mendengar kenyataan Anas itu. Anas pula pelik melihat gelagat Apaknya itu. Adakah jawapan yang diberinya itu silap?
 “Kamu tak perlu risau itu semua. Orang asli memang makan babi. Tapi bukan senang mahu makan babi tau.” Anas mendengar dengan penuh minat. Walaupun dia teruja, tapi dia cukup berhati-hati untuk tidak memotong percakapan apak nya itu. Maklumlah, orang asli kurang suka andai percakapan mereka di potong.
 “ Bukan semua orang asli boleh makan babi. Hanya orang lelaki sahaja yang boleh makan. Itu pun mereka tak boleh makan di rumah. Harus di makan jauh di kebun atau hutan. Bekas yang digunakan untuk makan babi pula biasanya dibuat dari buluh dan dibuang. Ini kerana, bekas tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi. Selain itu ada banyak lagi pantang kalau nak makan babi. Contohnya kalau sakit atau isteri melahirkan anak kecil, mereka tidak dibenarkan untuk memakan babi. Orang wanita pun tak boleh makan babi, begitu juga anak-anak yang belum cukup umur.”
Ketiga-tiga mereka terkejut mendengar cerita Alang. Maklumlah, itu merupakan suatu yang betul-betul baru buat mereka.
***********
Masa berlalu dengan cukup pantas sekali dan akhirnya tiba lah masa untuk mereka berpisah. Alang dan Tina berasa terlalu sedih dan tidak sanggup rasanya untuk berpisah dengan anak-anak mereka. Beberapa hari bersama mereka cukup bermakna. Selain mencari akar kayu, mereka juga ke sungai untuk menangkap ikan dan ke hutan untuk menjerat burung. Burung yang diperolehi akan disembelih oleh Anas dan mereka akan makan bersama-sama.
Selain itu, mereka juga memasak untuk anak-anak angkat mereka dengan menggunakan buluh. Ada nasi, ubi dan juga sayur. Bau harum dari buluh menambahkan lagi selera anak-anak mereka untuk makan. Hati mereka benar-benar terhibur sekali. Sewaktu doktor datang, mereka dilayan dengan begitu baik sekali dan diberi ubat-ubat panadol dan cirit birit yang sangat diperlukan mereka.
Paling menyedihkan apabila Anas datang memeluknya untuk mengucapkan terima kasih atas layanan darinya. Sepanjang berada bersama mereka, anak-anak cukup rajin sekali membantu dia dan Tina. Walaupun mereka beragama Islam. Tidak pernah pula mereka memaksa dia dan isterinya memeluk Islam. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh anak-anak angkat begitu menyentuh hati mereka. Dalam pelukan erat Anas, Alang akhirnya berbicara. Satu perasaan yang sudah terbuku di hatinya itu perlu diluahkan agar tidak terus memakan dirinya.
“Apak mahu masuk Islam yang menjadi agama anak.” Anas terkejut walaupun hatinya bersyukur.
 Tidak disangka bahawa kedatangan mereka membuka pintu hidayah buat Apaknya itu. Dia tidak menaruh harapan besar agar apaknya memeluk islam dan bersolat. Baginya cukuplah jika apaknya mempercayai tauhid seperti mana yang digariskan dalam surah Al-Ikhlas. Dan kenyataan apaknya itu cukup mengharukannya. Di saat mereka ingin pulang, sayang yang bertaut semakin memuncak hingga menyentuh hati pasangan yang berada jauh dalam hutan itu untuk memeluk Islam.
Anas, Syakira dan Syahila menangis kerana terharu dengan keputusan yang dibuat oleh keluarga angkat mereka itu. Benarlah kasih sayang itu merupakan senjata yang cukup berbisa sekali untuk menyentuh hati-hati manusia. Di saat sayang bertaut, pasti seribu keajaiban akan berlaku. Dan ini adalah keajaiban yang paling berharga sekali.

0 pendapat:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN