Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Munajat Pada-Mu



Kedinginan pagi hujan menitis,
Balam-balam lampu setia menemani,
Aku berteleku di sejadahMu Tuhan,
Menenangkan jiwaku yang berkecamuk,
Aku sedar hidupku begitu bermakna,
Dikelilingi kebahagiaan dan kesempatan,
Meneroka cabang hidup dengan harapan,
Aku sedar itu, Ya Allah,
Dan aku bersyukur atas peluang ini,
Namun, aku masih terasa 'kosong',
Jiwaku kesepian dengan hakikat diri,
Aku buntu mencari sinaran hidupku.
Syukur padaMu wahai  Tuhan,
Perjalanan sejauh ini dapat diharungi,
Tiada segaris kekesalan yang melanda,
Suka duka menjadi dorongan,
Cinta dan cita jadi sanjungan,
Namun andai aku hilang arah,
'Tuntunlah' aku kembali padaMu,
Jangan terus biarkanku hanyut dalam,
arus waktu yang melalaikan.
Aku mahu kedamaian hati,
Redha dengan suratan takdir,
Menjalani hidup dengan keberkatanMu,
Mendampingi ilmu dan yang tersayang,
Melakari nostalgia bahagia bersama,
Hanya Engkau sahaja yang tahu,
Apa yang terbaik untukku,
Aku berserah diri padaMu,
Dan berilah aku kekuatan,
Berdepan dengan insan lain,
Mentafsir keinginan isi hati,
Dan impian yang digenggam,
Selama ini .
Aku mahu dekat denganMu ya Allah,
Melayari hidup dengan izinMu,
Kebahagiaan dalam cinta manusia,
Kesejahteraan hakiki yang di cita,
Harapanku munajat ini,
akan terus melagukan rindu padaMu dan
Gelora persoalan dapat dileraikan
dengan penghujung jawapan terindah.

Aku Yakin Allah Tidak Akan Mensia-siakanku



Kadangkala dalam hidup kita tidak pernah sedar, Tuhan sudah melengkapkan hidup kita dengan benda-benda yang kita perlukan untuk jalani hidup dengan sempurna. Sebab Dia akan sentiasa berikan yang terbaik buat kita.
Sempurna vs Terbaik?
Sempurna itu saya lihat dari sisi, dari gambaran cukup atau tidak dalam sesuatu benda asas dalam hidup yang menjadi suatu keperluan, bukan dalam konteks kita dapat segalanya yang kita minta.
Terbaik? Benda yang kita perolehi itu pastinya sesuatu yang Allah sudah rancang untuk kita, dan Dia tahu itu ada adalah sebaik-baik perkara yang bersesuaian dengan fitrah diri kita.Bukankah Allah itu sebaik-baik perancang? Seperti mana tidak pernah ada istilah kebetulan ataupun istilah bernasib baik dalam hidup. Segala sudah diatur rapi, hanya menunggu masa untuk 'dilepaskan' dari Loh Mahfuz dan mencorakkan hidup kita.
Hidup tetap ada pasang surutnya. Tetap ada kegembiraan walapun terselit duka. Allah juga telah berjanji, selepas kesusahan pasti kesenangan berpanjangan akan datang menghampiri. Untuk mengharungi, caranya juga Allah telah jelaskan. Solat dan sifat sabar itu penawarnya.
Syukur tingkatannya lebih tinggi dari tingkatan sabar. Berapa ramai manusia boleh bersabar?Tidak ramai. Apatah lagi yang mampu mengucap syukur, malah bilangan lebih sedikit. Apa erti syukur yang sebenarnya? Apabila kita redha dengan segala ujian yang datang menyinggah, itu adalah suatu bentuk kasih dan tarbiyyah Dia buat kita. Redha? Bila hati ini belajar mengucapkan syukur. Lebih cantik apabila diadun dengan tawakal dan kebergantungan sepenuhnya terhadap rahmat Allah yang tidak pernah surut datang menyirami kita setiap masa.
Rezeki Allah itu bertebaran di muka buminya yang luas, selagi ada rezeki buat kita maka usah gusar. Mengapa harus dikisahkan, dirisaukan tentang perkara yang belum pasti berlaku?Benar hidup itu suatu percaturan, tiada siapa yang mengetahui masa depan apa yang bakal berlaku.
Namun bersedia dengan kejutan dalam hidup yang sudah ditentukan dan tetap istiqamah berusaha mencari redhaNya, suatu ketetapan yang perlu dilakukan sentiasa. Itu sahaja cara mengajar hati agar redha. Jangan pernah berhenti yakin dengan adanya rahmat Allah, tetap sentiasa akan ada laluan buat kita seandainya laluan target kita sudah beralih simpangnya, kerana Allah sudah membina 'jalan yang lain'.
Terus usaha mencari redhaNya. kerana Allah melihat kepada hasil. balasan yang setimpal itu imbalannya. sama ada dalam bentuk yang sama seperti apa yang kita usahakan, mungkin juga balasan itu dalam bentuk lain yang tidak pernah kita sangka-sangka. yakinlah bahawa hidup ini diciptakan dengan indah, dan ujian itu penyerinya. Ujian itu wasilah kita mencapai apa yang sepatutnya yang terbaik dalam hidup kita. Ujian itu perlu sebelum melayakkan diri kita menerima imbalan yang pastinya tetap membuatkan hidup kita tenang dan dalam keredhaanNya.
Cukuplah Allah sebagai pelindungku.
Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar. Usah bersedih.

Tanda-Tanda Penuaan



Assalamualaikum wbt,
Doktor bolehkah kita mengesan tanda-tanda penuaan bagi diri kita selain dari rambut beruban dan sebagainya.
Maksudnya, keadaan tubuh itu sendiri? Minta doktor perjelaskan. Teriam kasih.
funky
Wa'alaykumsalam funky, semoga diberikan kesihatan yang baik dari Allah dan berada dalam limpahan nikmat kurniaannya.
Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan (ageing) adalah sesuatu yang normal dan ia merupakan kitar hidup bagi manusia. Jangka hayat untuk manusia adalah antara 72-76 tahun dan umur tertua pernah dicatat adalah 110 tahun.  
Proses penuaan berlaku apabila terdapat pengurangan fungsi organ dan tisu tubuh secara menyeluruh. Oleh itu ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Allah berfirman dalam Al Quran yang berbunyi.
"Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya)." [Q40:67]
Sains menunjukkan bahawa proses penuaan dipengaruhi oleh enzim telomerase yang terdapat didalam nukleus sel badan. Enzime ini akan menggantikan telomer yang berada dihujung kromosom manusia (mengandungi rantaian yang membawa maklumat genetik). Untuk pengetahuan saudara, sel-sel badan kita akan sentiasa membahagi dan setiap kali ia membahagi, telomer semakin memendek.
Terdapat satu lagi protein yang diberi nama sebagai progerin yang dihasilkan dan mempengaruhi proses penuaan. Walaubagaimanapun, peranan sebenar ia dalam mempengaruhi penuaan tidak diketahui.
Salah satu hipotesis adalah, apabila kromosom memendek dan progerin bertambah, proses untuk penghasilan protein akan terjejas. Protein yang dihasilkan adalah tidak mengikut templat asal dan ini akan membawa kepada pelbagai perubahan dalam tubuh  memandangkan protein yang dihasilkan mempunyai peranan tersendiri dalam mengekalkan fungsi tubuh seperti penghasilan hormon, proses pergerakan garam dalam tubuh dan lain-lain.
Tanda-tanda penuaan adalah menyeluruh, dan merangkumi penemuan fizikal dan juga dari segi kesihatan mental. Oleh itu, adalah sesuatu yang subjektif sekiranya kita hendak menentukan ini adalah tanda-tanda penuaan dan sebagainya kerana ia adalah proses yang berterusan dari muda ke tua.
Pendapat peribadi saya adalah, saudara boleh perhatikan perbezaan fizikal setelah berumur menjangkaui 40 tahun. Antaranya ialah kulit semakin berkedut, tulang menjadi rapuh, mata semakin kabur, untuk wanita, darah haid mula tidak teratur dan berhenti, dan sebagainya.
Wallahua'llam.
Diharapkan ia dapat menjawab pertanyaan saudara.
Dr Muhamad Na'im B. Ab Razak (MD USM) 

Bila Lelaki Kehilangan Tulang Rusuknya



WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku.
Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...
Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.
Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".
LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"
Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.
LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".
Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai.
LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya.
Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di
hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.
Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.
LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah.
WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal.."
Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.
Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang dikemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat...
Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.
Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima?? 

Siti Fatimah RA Dan Pembantu Rumah



Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda.
Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai Siti Khadijah.
Itulah Siti Fatimah RA, wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.
Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Saidina Ali merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.
Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.
Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, "Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia." (Hadis Riwayat Abu Hurairah)
Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap.
Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.
Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah SWT.
Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian.
Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan kerja rumah.
Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur.
"Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya.
Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.
Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.
Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.
Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.
Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."
Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"
Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.
Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.
Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.
Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.
Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.
Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita."
Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"
"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.
Rasulullah SAW bersabda :
"Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."
Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.
Itulah hadiah istimewa dari Allah SWT buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya.

Sinaran Dan Manusia Dalam Aktiviti Harian


Sebaik saja kita mendengar perkataan “radioaktif”, secara automatik terlintas di fikiran bahawa radioaktif adalah bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati apatah lagi disentuh.
Ada yang mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau boleh menyebabkan seseorang individu itu terkena penyakit seperti kanser dan sebagainya. Itu persepsi umum masyarakat terhadap radioaktif.
Bukan itu sahaja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang telah berlaku di seluruh dunia antaranya seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos, 1945; kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April, 1986; dan terkini ialah peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear di Fukushima akibat gempa bumi dan bencana tsunami pada 11 Mac, 2011 lalu.
Peristiwa-peristiwa seperti ini menyebabkan masyarakat semakin berasa bimbang dan gusar kerana mereka beranggapan radioaktif adalah punca kepada segala-galanya iaitu kehilangan nyawa, kerosakan harta-benda, pencemaran terhadap alam sekitar dan mengidap penyakit berbahaya seperti kanser.
Sememangnya stigma masyarakat terhadap radioaktif sukar untuk diubah. Namun begitu, pada hakikatnya dan tanpa kita sedari, radioaktif sebenarnya wujud secara semulajadi di sekeliling kita yang mengeluarkan sinarannya secara semulajadi dan kita terdedah kepadanya dalam kehidupan kita seharian.
Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah-tanih dan batu-batan yang kita duduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut memakannya melalui makanan dan minuman kita seharian seperti di dalam buah-buahan dan sayuran.
Tubuh badan kita sendiri mempunyai bahan radioaktif semulajadi seperti potassium-40 (K-40). Data UNSCEAR 2000 (United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos sinaran semulajadi di sekeliling kita yang terdedah kepada kita setahun adalah sebanyak 2.4 milliSievert (mSv).
Malah di dalam semua tanah di dunia terdapat bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials – NORM) terutamanya kandungan uranium-238 iaitu dalam julat 16 – 110 Becquerrel/kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016 – 0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11 – 64 Bq/kg (bersamaan 0.011 – 0.064 Bq/kg).
Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semulajadi ini adalah dalam julat 49 – 86 Bq/kg (bersamaan 0.049 – 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63 – 110 Bq/kg (bersamaan 0.063 – 0.1 Bq/g) untuk thorium.
Apa itu radioaktif?
Radioaktif atau sinaran yang terhasil daripada bahan radioaktif ialah satu bentuk tenaga yang dipancarkan oleh atom atau molekul yang disebarkan melalui ruang atau jirim sebagai partikel/zarah ataupun gelombang elektromagnet.
Sinaran mempunyai pelbagai istilah antaranya seperti gelombang cahaya, gelombang radio, sinar infra-red (haba), gelombang mikro dan sinar X.
Antara sinaran mengion yang wujud ialah zarah Alfa, zarah Beta, sinar Gamma, sinar X dan juga Neutron.
Bahan radioaktif ini terhasil melalui dua pendekatan iaitu ada bahan radioaktif semulajadi seperti uranium dan thorium dalam alam sekitar (tanah, pokok, air dan udara) dan yang satu lagi bahan radioaktif “buatan” manusia seperti Technitium-99m yang digunakan di dalam perubatan dan Iridium-192 yang digunakan di dalam industri termasuk penjanaan kuasa nuklear.
ISU LYNAS: Isu terkini yang melibatkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan adalah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia.
Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi. Hasil dari pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudahalih serta kereta hibrid, tiub “cathode-rays” bagi monitor TV dan komputer, wayar “fibre-optic”, aplikasi aeroangkasa sehingga ke magnet bagi penghasilan tenaga dari sumber angin.
Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30% dari bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi kelak. Pertikaian masyarakat mengenai “residue” yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM – naturally occurring radioactive materials) yang dihasilkan.
Punca utama kebimbangan orang awam khususnya bagi masyarakat Pahang ialah Lynas bercadang untuk membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih tersebut akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.
Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu menyebabkan orang awam mempertikaikan ketelusan kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjamin keselamatan rakyat.
Malah, isu ini telah digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang sebenarnya bermotifkan politik semata-mata.
Apa yang dikesalkan, orang awam menjadi mangsa keadaan kerana mereka telah dihidangkan dengan maklumat yang mengelirukan sehingga menyebabkan mereka berfikir bahawa pemprosesan rare earth atau nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di syarikat Asian Rare Earth pada awal tahun 80’an yang lalu akan berulang.
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi-agensi bertanggungjawab yang terlibat antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas ini.
Sebenarnya dalam projek melibatkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi tetapi pemberian lesen operasi hanya akan diberi selepas syarikat Lynas mematuhi kesemua langkah serta syarat keselamatan yang telah dinyatakan dalam lesen dan juga dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan yang termaktub dalam Akta 304 dan peraturan-peraturan subsidiarinya.
Malah, kerajaan juga telah menjemput panel pakar bebas antarabangsa dari negara yang tidak mempunyai kepentingan dengan projek Lynas ini bagi menjalankan kajian semula dari aspek kesihatan dan keselamatan. Ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar telus dalam proses membuat keputusannya.
Sejauh manakah tahap selamat yang diwar-warkan itu adalah selamat?
Berdasarkan fakta serta analisis sampel-sampel yang telah dibuat oleh agensi-agensi yang bertanggunjawab, residue yang akan dihasilkan oleh projek Lynas adalah rendah iaitu 0.165% kandungan thorium [bersamaan dengan 1650 bahagian per juta [parts per million, (ppm)] iaitu bersamaan dengan 6.7 Becquerrel per gram[Bq/g] (atau 6500 Bq/kg). Ia 60 kali lebih rendah berbanding projek Asian Rare Earth yang mengandungi 10% kandungan thorium iaitu sebanyak 100,000 ppm (bersamaan dengan 406 Bq/g (atau 406,000 Bq/kg).
Kandungan thorium yang terdapat dalam residue Lynas, iaitu Water Leach Purification (WLP), menghasilkan dedahan sinaran sebanyak 0.002 mSv/tahun yang jauh lebih rendah dengan dedahan yang sepatutnya terdedah kepada orang awam sebanyak 1 mSv/tahun.
Sehubungan dengan itu, penduduk setempat khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran kilang tersebut tidak perlu risau kerana projek itu tidak meninggalkan kesan kesihatan kepada mereka.
Tahap dedahan dos sinaran untuk orang awam adalah sebanyak 1 mSv/tahun atau 0.50 microSievert/jam (uSv/j).
Berdasarkan pemantauan dan kajian, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan projek Lynas antaranya seperti di daerah Balok, Beserah, Sungai Ular dan Sungai Karang tidak perlu khuatir waima berasa bimbang kerana anggaran dos dedahan yang bakal diterima adalah sebanyak 0.002 mSv/tahun.
Malah, kajian yang dilaksanakan oleh badan bebas berkelayakan menunjukkan kadar dos dedahan maksimum yang dapat diukur di sekitar Kuantan ialah lebih 0.00012 milliSievert/jam saja (1000 microSievert = 1 milliSievert).
Kadar dos dedahan ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar dos dedahan yang diterima sewaktu menjalani pemeriksaan CT Scan dan juga X-Ray dimana dos dedahan yang diterima sewaktu membuat CT Scan adalah sebanyak 6.9 mSv/dedahan iaitu bersamaan 41.4 mSv/jam (data dari Japan Atomic Industry Forum, JAIF) manakala sinar-X untuk dada (chest X-ray) pula ialah 0.5 mSv/dedahan iaitu bersamaan dengan 18,000 mSv/jam (UNSCEAR, 2000).
Bukan itu sahaja, lantai marmar yang kita pijak, cawan atau pinggan porselin yang kita guna, tanah yang anak-anak kita bermain, batu yang dipakai untuk membuat rumah dan pejabat sebenarnya mengandungi bahan-bahan yang mempunyai unsur-unsur radioaktif seperti thorium, uranium dan lain-lain lagi.
Tetapi, unsur-unsur tersebut hanya menyumbang kepada dos yang sangat rendah dan tidak menyebabkan ancaman terhadap kesihatan manusia.
Antara contoh penggunaan harian yang melibatkan kadar dos dedahan yang agak tinggi adalah seperti berikut:
Pinggan Porselin 0.000323 mSv/j (bahan kadar dos dedahan sejam)
Gelas 0.000227 mSv/j
Loket rantai yang diperbuat daripada gunung berapi (pendant) 0.002128 mSv/j
Tanah 0.000227 mSv/j
Pasir 0.000161 mSv/j
Batu-Bata Simen 0.000257 mSv/j
Batu Bata Merah 0.000239 mSv/j
Sumber: Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia
Kegunaan Sinaran: Sinaran sebenarnya banyak digunakan dalam industri perubatan di mana sinar Gamma dari kobalt-60 digunakan untuk membunuh sel-sel barah dalam rawatan radioterapi dan digunakan juga untuk membunuh kuman dalam proses pensterilan alat perubatan seperti termometer, jarum dan picagari suntikan, alat pembedahan dan sebagainya.
Sinaran radioaktif daripada radioisotop turut digunakan untuk membunuh serangga perosak.
Sinaran juga digunakan dalam sistem pengawalan ketebalan secara automatic dalam pembuatan kertas, kepingan plastik dan kepingan logam.
Dalam industri pembungkusan makanan dan minuman, teknologi sinaran dimanfaatkan bagi tujuan pengukuran kandungan yang tepat dan pengesanan bendasing yang boleh memudaratkan kita.
Pek atau tin yang mengandungi sebarang bendasing atau mempunyai kandungan kurang daripada yang ditetapkan akan secara spontan disingkirkan. Imbasan sinar-x turut mampu mengesan sebarang ketidakseragaman pada susunan lilitan keluli radial di tayar kenderaan yang tidak kelihatan pada mata kasar.
Di Malaysia, Lynas (M) Sdn Bhd bukanlah satu-satunya syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral. Antara syarikat lain yang menjalankan aktiviti tersebut ialah Petronas Carigali (M) Sdn Bhd, TOR Mineral (M) Sdn Bhd, Tioxide Hunstman (M) Sdn Bhd dan Samsung Corning (M) Sdn Bhd.
Selain Malaysia, aktiviti pemprosesan nadir bumi turut dijalankan di Afrika, India, Kanada, Vietnam, China dan Brazil.
Justeru, adalah tidak adil sekiranya sinaran dikatakan mendatangkan bahaya sahaja. Hakikatnya sinaran telah membawa banyak faedah kepada manusia terutamanya dalam rawatan dan diagnostik ke atas penyakit kanser.

Makna Sebuah Kejayaan



"Mak jumpa Firdaus dekat kedai tadi, wah keretanya jenama dari oversea, baru lagi. Katanya dia buat bisnes sekarang," ujar mak kepada saya.
Teh yang masih berwap panas itu aku hirup sedikit demi sedikit. Otakku agak ligat memahami maksud tersirat di hati mak.
"Mak, mak rasa apa sebenarnya yang dikatakan sebagai kejayaan didunia ini?" Aku bertanya kepada mak.
Mak hanya terdiam. Mungkin sedang memikirkan jawapan untuk soalan ku.
"Kita ni selalu pandang kejayaan dari sudut lahiriah je, kereta besar, rumah besar, jawatan hebat. Tapi mak, bagi saya kejayaan yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya menjadi insan yang diredhai Allah, dan berjaya menjaga iman dan agama kita. Mana yang mak nak? Anak yang berjaya memperolehi rumah besar, kaya raya tapi tidak menunaikan solat, tidak hormat pada ibu bapa, tidak reti hal-hal berkaitan agama atau mak nak anak yang ada rumah biasa, tak begitu mewah tapi hatinya luhur, ikhlas memperhambakan diri kepada Allah ?" Aku menyoal  lagi.
"Isk, mestilah mak nak seorang anak yang hormat kepada mak ayah, dan yang menjaga iman dan agama."
"Baiklah, mak sendiri sudah tahu apa pilihan mak, tapi orang lain diluar sana masih memandang kepada rupa daripada isi."
Mak terdiam lagi. Pandangannya seakan-akan menembusi skrin televisyen itu.
Inilah sikap masyarakat kita yang rata-rata cuma mentafsir erti kejayaan itu dengan melihat daripada sudut lahiriah semata-mata. kereta yang besar, rumah yang mewah serta gaji bulanan yang banyak itulah yang menjadi ukuran bagi masyarakat itu untuk menentukan sejauh mana seseorang itu berjaya dalam kehidupannya. Apabila seseorang itu tidak mempunyai rumah mewah, kereta besar dan gaji yang melimpah ruah , seseorang itu akan dianggap tidak berjaya walaupun dia kaya dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Jika ditanya kepada ku, apakah erti kejayaan yang sebenar? Aku berpendapat bahawa menjawab bahawa kejayaan itu adalah datangnya daripada Allah dan kejayaan itu akan datang apabila seseorang hamba Allah itu melakukan setiap perkara hanyalah kerana mencari keredhaan Allah. Apabila kita melaksanakan segala perbuatan itu kerana Allah, maka secara automatik segala suis akan dihidupkan untuk memacu diri mencapai kejayaan dari pelbagai sudut.
Sahabat sekalian..
Jika anda merupakan seorang pelajar UiTM, mungkin anda masih berada di mood yang tidak menentu setelah mendapat keputusan peperiksaan baru-baru ini, ada yang gembira tak terkata, ada pula yang kecewa tidak terhingga, mungkin ada yang sedang tersenyum puas, atau sekadar tidak ambil pusing mengenai keputusan yang diperolehi.
Alhamdulillah, aku telah dikurniakan kecemerlangan tidak disangka-sangka. Namun dalam pada masa yang sama, aku takut andai kejayaan yang aku perolehi ini hanya akan membuatkan aku berada lebih jauh daripada Allah.
Seringkali saya terdengar dialog berbaur cemburu oleh rakan-rakan terhadap rakan-rakan mereka yang memperoleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Jelas dan nyata sekali kata-kata mereka berbaur nada tidak puas hati, cemburu dan iri hati. 
" Ala dia tu bolehlah dapat dekan sebab dia tu suka bodek lecturers ."
Mungkin anda juga pernah mendengarnya bukan?
Kejayaan tidak boleh diukur dari segi lahiriah semata-mata. Selalunya kejayaan yang  bersifat lahiriah itu hanya akan mengundang iri hati dan cemburu orang lain. Ada sesetengah orang pula apabila telah berjaya, dia menjadi semakin angkuh dan sombong sesama manusia dan juga kepada Allah S.W.T.
Ada sesetengah orang yang dikatakan berjaya namun masih tidak menunaikan solat, tidak menutup aurat dengan sempurna, pentingkan diri sendiri, tidak menghormati ibu bapa dan meninggi diri.
Baru-baru ini saya ada menerima mesej di facebook daripada seorang junior yang berbunyi seperti ini:
"Kak Suhana, tiba-tiba mahu kata-kata motivasi untuk diri ini, rasa down sikit dengan result exam."
Aku pun menjawab mesej tersebut:
"Adikku, tika kau lemah, jadikan Allah sebagai tempat untuk meluah rasa.Tika kau goyah, kau perlu kuat kerana kau pembawa Agama.Tika kau rebah, kau harus tabah kerana kau mujahidah muda. Ingat, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan, jangan berputus asa! Sesungguhnya orang yang berputus asa itu jauh dari rahmat Allah SWT. Sungguh Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu."
Sungguh, kegagalan itu adalah kejayaan yang tertangguh. Gagal hari ini, bermakna akan ada kejayaan besar yang akan menanti.
Berjaya atau gagal,kembalilah kepada Allah setiap saat dan detik, kerna Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN