Artikel berkenaan "Holy Water" sebenarnya telah lama saya tulis sebelum ini dan hanya diedarkan di kampus tempat saya belajar melalui organisasi yang kami tubuhkan iaitu Kelas Peradaban Nabawi dan juga melalui blog peribadi serta facebook.
Disebabkan orang ramai masih keliru dan terus menerus percaya akan kisah dongeng mengenai "Holy Water", maka saya mengambil keputusan untuk menghantar artikel ini kepada I Luv Islam memandangkan capaian pembacanya yang lebih besar.
Sejak ia disiarkan dalam website ini, pelbagai komen telah diterima samada melalui facebook dan juga ruangan komentar artikel ini sendiri. Semestinya ia memberikan reaksi yang berbeza baik bersetuju mahupun tidak.
Yang mengecewakan saya ialah apabila ada pembaca yang tidak faham mesej yang ingin saya sampaikan dan melontarkan tuduhan bahawa saya menggalakkan orang Islam minum "Holy Water", menimbulkan kekeliruan mahupun ingin meniru perbuatan orang Kristian.
Oleh itu, saya tergerak untuk menulis satu lagi artikel untuk menyingkap faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya isu "Holy Water" ini.
Faktor pertama adalah disebabkan oleh "faulty logic and reasoning" yakni kesilapan dalam menghasilkan kesimpulan dan penggunaan ilmu logik akal. Ada beberapa sebab mengapa ia berlaku.
Pertama adalah kerana umat Islam sudah terlampau biasa dengan air "bacaan yasin", ataupun air "solat hajat" di mana ayat-ayat tertentu dibaca dan dihembus pada air untuk tujuan perubatan ataupun meminta hajat. Oleh yang demikian, golongan ini secara automatik akan menyifatkan bahawa air "bacaan yasin" dan "Holy Water" itu memberikan fungsi yang sama.
Keduanya adalah disebabkan pengaruh Hindu kuno yang telah pun sebati dalam masyarakat Melayu di Nusantara terutamanya dalam konsep perbomohan dan juga jampi serapah. Umum mengetahui bahawa apabila berbicara tentang soal ini, ilmu hitam sering dikaitkan dengan benda-benda kotor dan najis. Maka di situlah timbul isu bahawa "Holy Water" diperbuat daripada janin yang telah mati, air mani paderi dan juga bangkai.
Faktor kedua adalah disebabkan sifat orang Melayu yang sukakan cerita-cerita sensasi dan suka untuk menyebarkannya tanpa melakukan penyelidikan dan mengesahkan kebenaran sesuatu cerita.
Hubungan Islam-Kristian semestinya mencatatkan begitu banyak pertembungan dalam pelbagai aspek. Ramai Muslim yang dididik sejak dari kecil untuk memandang orang Kristian sebagai musuh ketat kerana berpunca daripada kesilapan menisbahkan ayat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang sehingga orang Islam mengikut agama mereka.
Oleh itu, mereka beranggapan bahawa semua orang Yahudi dan Kristian itu jahat. Apabila timbul isu "Holy Water", maka mereka membuat konklusi bahawa golongan ini menggunakan cara yang salah untuk memurtadkan orang Islam. Disebabkan kisah ini mempunyai unsur-unsur mistik dan sensasi, ia semakin menambah minat orang Melayu untuk menyebarkan berita-berita ini.
Golongan sebegini patut bermuhasabah kembali dengan amaran dari Allah yang melarang kita semua menyebarkan berita daripada orang-orang fasik.
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [Q49:6]
Bahkan, untuk artikel yang saya tulis berkenaan "Holy Water" sendiri, saya menggalakkan orang ramai membuat kajian sendiri sebelum menyebarkan artikel tersebut. Malah, mereka yang masih tetap percaya dengan "Holy Water" juga boleh mencari sendiri "Holy Water" tersebut dan melihatnya sendiri.
Faktor ketiga adalah disebabkan tindakan tidak bertanggung jawab sesetengah golongan yang mempunyai 'title' ustaz di hadapan nama mereka yang secara terus menerus menyebarkan berita ini tanpa meneliti terlebih dahulu kesahihannya. Bagi orang awam, kata-kata ustaz adalah sesuatu yang sahih dan tidak boleh dipertikaikan.
Saya tidak menyalahkan golongan ustaz ini. Mungkin mereka juga kurang arif tentang "Holy Water" dan sayang pada Islam. Oleh itu mereka berpandangan bahawa perihal "Holy Water" harus disebarkan demi untuk memelihara akidah orang Islam.
Namun, kita juga harus berhati-hati bahawa terdapat juga golongan agama yang tidak jujur dan mempunyai motif tersendiri dalam menyebarkan berita sensasi sebegini. Kita seharusnya berhati-hati dengan golongan sebegini kerana menyebabkan orang Islam menjadi 'laughing stock' dalam kalangan penganut Kristian.
Faktor keempat adalah disebabkan kegagalan kita untuk menghadapi sesuatu isu dengan rasional. Kita lebih banyak dipengaruhi faktor emosi dan takut apabila mendepani isu-isu berkaitan dengan gerakan "Evangelism". Tidak dinafikan bahawa fokus "evangelism" kini bertumpu di Asia Tenggara dan Afrika setelah agama Kristian tidak lagi diterima di Barat, namun untuk membiarkan emosi menguasai kita dalam mendepani isu ini bukanlah satu tindakan yang bijak dan matang.
Faktor kelima ialah apa yang saya sifatkan sebagai doktrinisasi. Sesuatu perkara yang salah akan menjadi benar andai mesej itu diulang secara berkali-kali, diberi penekanan oleh orang yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat dan juga disebarkan dalam tempoh yang cukup lama. Kesemua ini menjadi sebab mengapa isu ini menjadi sebati dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
Faktor terakhir adalah disebabkan kejahilan dalam bidang perbandingan agama. Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai ramai ustaz-ustaz yang mampu menjawab persoalan berkenaan hal aqidah, feqah, tasawwuf mahupun ekonomi. Tetapi apabila isu berkaitan agama lain, mereka tidak didedahkan dengan peluang untuk mendalami ilmu perbandingan agama. Tambahan pula, mentaliti masyarakat kita yang masih tertutup menyebabkan ruang untuk dialog-dialog antara agama tidak berhasil. Jika dilaksanakan pun, orang Islam lebih gemar menyerang orang Kristian berbanding mendengar hujah mereka.
Untuk mereka yang salah faham tujuan artikel "Holy Water" ditulis, saya jelaskan sekali lagi bahawa bukan niat saya menyuruh orang Islam mendekati "Holy Water", meminumnya ataupun meniru perbuatan orang Kristian. Ini kerana "Holy Water" bukan untuk diminum. Orang Kristian sendiri tidak meminumnya dan tidak menghidangkannya kepada orang Islam. Bagi penganut Kristian Katholik sendiri, adalah haram bagi mereka menggunakan sihir untuk mengkristiankan mana-mana penganut agama lain
Saya sendiri sudah beberapa kali ke gereja dan dihidangkan minuman oleh mereka. Dan sehingga ke hari ini, Alhamdulillah saya masih boleh mengucap kalimah syahadah dan tidak menjadi murtad. Maknanya, saya tidak dihidangkan "Holy Water" oleh mereka dan andaikata mereka memberi saya minum air tersebut, ia GAGAL memurtadkan saya.
Akhir sekali, saya menyeru sahabat-sahabat Muslim untuk menyemai budaya berfikir dalam apa-apa sahaja isu yang berlaku di sekeliling kita. Usahlah suka melatah sebaliknya semailah budaya orang berilmu agar ummah kita akan terus cemerlang di persada dunia.
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."[Q39:9]
Wallahu'allam.
0 pendapat:
Post a Comment