"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit " [Surah Ibrahim (14) : 24]
Perkataan yang baik, adalah sesuatu yang menyejukkan jiwa malah ia sebenarnya mampu membangkitkan perasaan untuk terus bergerak dan memacu perubahan diri.
Kalimah yang baik adalah perkataan yang dapat memberikan ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman kepada sanubari insan yang mendengarnya dengan jiwa yang lapang.
Kata-kata yang baik dapat menegakkan prinsip, menghidupkan roh, mendorong seseorang menuju kebenaran dan membina generasi yang berwawasan.
Kata-kata yang baik, mampu mengetuk jiwa, mendiamkan perasaan gundah, membuka mata, memukau seisi dunia dan menciptakan ketenangan yang luar biasa.
Inilah penangan kata-kata, bicara dan seruan kebaikan. Dan, kebaikan itu adalah daripada Rabb yang HAQ – Allah S.W.T.
Khatib terhebat dalam sejarah dunia
Di dalam banyak-banyak sunnah Rasulullah S.A.W, ada satu yang sangat menonjol dalam diri Rasulullah S.A.W : Baginda merupakan seorang khatib, juru dakwah dan pemidato yang terhebat.
Lisannya yang jujur dalam penyampaian telah mempengaruhi ramai orang untuk mendekati dan menghampirinya. Lisannya yang tulus itu, dapat menyapa roh dan jiwa manusia sehingga terpaut kepada tutur katanya yang indah lagi mempesona.
Ketika berbicara, seolah-olah mutiara yang keluar dari bibir Baginda memancar terang sehingga ia kelihatan begitu cantik dan menarik. Bercahaya menyinari wajah Baginda dan para sahabat terpegun dan terpaku di hadapannya tanpa banyak bicara.
Mereka tenggelam dalam layar bicara insan yang agung ini. Masya-Allah.
Tutur katanya, menghidupkan semangat para pejuang generasi awal dan memotivasikan jiwa mereka sehingga membangkitkan diri untuk beriman kepada yang Esa. Jiwa mereka berkobar-kobar memperjuangkan risalah yang dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W.
Tutur katanya, menghidupkan semangat para pejuang generasi awal dan memotivasikan jiwa mereka sehingga membangkitkan diri untuk beriman kepada yang Esa. Jiwa mereka berkobar-kobar memperjuangkan risalah yang dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W.
Bagi mereka : "Hidup tanpa perjuangan adalah sebuah keaiban."
Ruh perjuangan sentiasa ditiup dengan nyalaan yang membara tanpa mengenal keputus asaan, kekecewaan dan kepenatan yang melelahkan.
Mereka mampu memacu dan mengharungi samudera kehidupan dengan seni keberanian yang sangat luar biasa. Di dada mereka tertanam keimanan yang benar sehingga mereka sangat mencintai kehidupan akhirat. Matlamat mereka jelas – mencintai Allah S.W.T.
Apakah rahsia yang membangkitkan jiwa mereka sehingga ke tahap ini?
Ya. Mereka sentiasa dimotivasikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. Sentiasa.
Kalamullah menjadi motivasi terulung.
Hadis yang mulia yang menjadi panduan hidup.
Hadis yang mulia yang menjadi panduan hidup.
Melalui apa? – Melalui kalimah toyibbah, melalu tutur bicara yang menghangatkan dan kata-kata pembangkit semangat.
Seni kepimpinan ummah zaman berzaman
Bahkan, bukan Baginda sahaja begitu. Para sahabat yang lain, juga mempunyai kekuatan dalam berbicara.
Thariq bin Ziyad, panglima tentera yang sangat hebat. Bala tentera di bawah pimpinannya telah mengharungi ketumbukan musuh Islam yang hebat dari segi keupayaan dan kelengkapan senjata perang. Namun, dengan kelantangan berpidato dan terikan ruh jihadnya – pasukan muslimin dapat membuka pintu kemenangan dan mengangkat panji Islam di udara kejayaan.
Saidina Ali Bin Abi Talid – diberi jolokan Pintu Ilmu. Apabila beliau berbicara, maka pecahlah segala pintu keterangan dan meleraikan segala kebuntuan. Khutbahnya, pidatonya dan penyampaianya mengalir seakan-akan seluruh kalimatnya adalah batu tulisan yang mengandungi keindahan, keagungan dan keunikannya.
Para ulama yang soleh lagi warak – Ibnu al-Jauzi juga begitu. Suasana kuliahnya sangat hening. Sangat menghibakan jika ia membicarakan soal dosa, taubat dan muhasabah. Linangan air mata para pendengar dan anak muridnya terdengar terisak-isak tanda tersentuh dan timbulnya penyesalan dalam diri. Ada yang meratap sehingga pengsan dan ada yang tersungkur di bawah rangkaian nasihatnya.
Masya-Allah, betapa bersih dan halusnya perasaan beliau.
Seorang khatib yang bergetar jiwanya kerana kesedihan dan kepiluan kerana takutkan kepada Allah S.W.T akan memberikan satu tusukan rasa kepada pendengarnya sehingga membuatkan air mata mengalir membasahi pipi yang kering.
Ahnaf bin Qais (tidak dikenali rama)i – adalah seorang lelaki yang kurus kering dan lemah serta bermata cengkung. Akan tetapi, apabila dia berkhutbah, maka dia menarik seluruh cahaya, mata, telinga dan hati untuk memberikan seluruh tumpuan kepada bicaranya.[1]
Begitu juga seorang tokoh pembaharuan dalam dunia gerakan Islam – As Syahid Imam Hassan al-Banna. Beliau jarang sekali menulis buku atau kitab. Tetapi, dalam sejarah hidupnya – beliau menjadi juru dakwah yang banyak menyampaikan didikan kepada masyarakat sekelilingnya dengan kata-kata nasihat, tutur bicara yang memikat dan lisan yang penuh berkat.
Seingat saya, beliau selalu telah mewujudkan satu forum atau kuliah umum untuk mengajak hati-hati manusia untuk mengingati Allah S.W.T dan melihat jiwa dengan proses didikan al-Quran. Kuliah ini dinamakan Haditsuts Tsulatsa atau Atthifatus Tsulatsa, kerana ia diadakan secara rutin pada hari Selasa, di pejabat Pusat Ikhwanul Muslimin.
Masya-Allah, kuliah ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat. Saban minggu, mereka ternanti-nanti dengan penuh kerinduan untuk berada dalam majlista'lim ini untuk mengisi kekosongan hati dan jiwa mereka. Mereka begitu asyik mendengar curahan hati Imam al-Banna sehinggakan, kuliah ini melimpah dengan kehadiran orang ramai luar daripada kawasan daerah.
Jika anda berhajat untuk membaca intisari dan intipati penyampaian kuliah Hassan al-Banna ini bolehlah dapatkan sebuah buku yang mengumpul semula kuliah-kuliah Imam Hassan al-Banna ini. Tajuknya, ialah Hadist Tsulatsa' : Ceramah-ceramah Hasan al-Banna, karya Ahmad Isa 'Asyur. Selain itu juga, saya pernah membaca buku yang mengumpulkan khutbah-khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Hassan al-Banna yang bertajuk Khutbah Jumaat Hassan al-Banna yang disusun oleh Syeikh Isom Talimat.
Kesemua ini adalah khazanah ilmu dan bicara murabbi ummah yang sangat berharga dan mendidik jiwa saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Kekuatan Bicara dan Dakwah Bil Lisan
"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" [Surah Fusillat (41) : 33]
Inilah contoh, qudwah dan role model yang diketengahkan untuk kita jadikan iktibar. Jika dilihat kepada mereka, terdapat beberapa ciri yang boleh kita jadikan panduan dan tips untuk peningkatkan diri :
(1) Keikhlasan dan kejujuran mereka dalam menyampaikan kalimah al-Haq. Kesungguhan, ke'serius'an dan penuh dengan sifat kasih sayang kerana Allah S.W.T menjadikan siri penyampaian mereka menyentuh perasaan dan mengerakkan rasa untuk melakukan perubahan dalam diri pendengar.
(2) Kefasihan dan kelancaran mereka dalam mengungkapkan ayat-ayat al-Quran dan selalu menyandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W sebagai hujah dan rujukan utama penyampaian mereka, membuatkan bicara mereka hidup dan segar. Inilah tali penghubung yang mengikat jiwa-jiwa manusia kepada keimanan dan keyakinan yang benar kepada Allah S.W.T.
(3) Memiliki kepakaran dalam bidang sastera sehingga barisan-barisan kalimah yang ada dalam tutur bicara mereka begitu indah, sangat menarik dan memikat untuk didengari. Gaya bahasa yang sederhana tetapi memukau serta penuh dengan nada-nada yang menakjubkan sehingga kisah-kisah, sirah-sirah dan cerita-cerita yang disampaikan benar-benar hidup di mata pendengar.
(4) Mereka mempunyai kualiti yang tinggi : Mampu menghidupkan bicara mereka di dalam hati, fikiran dan perasaan mereka. Mereka sentiasa memelihara hubungan hati dengan Allah S.W.T, sentiasa melakukan persiapan jiwa, emosi, fikiran dan rohani sebelum memulakan penyampaian ceramah, tazkirah atau khutbah.
(5) Mereka selalu membuat latihan kendiri untuk proses pengamalan, pengoperasian dan pembumian dalam kehidupan. Mereka hidup di dalamnya dan selalu berlatih dan berlatih. Ini juga adalah rahsia untuk menjadi seorang khatib, pemidati dan juru bicara yang petah berkata-kata.
Sebenarnya, umat ini sangat-sangat memerlukan khatib, dai dan sang penyeru yang pakar, memiliki perasaan dan menguasai keadaan. Tujuan keberadaan mereka adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran dengan pengaruh yang kuat dan mengesani perasaan insan. Ia mampu memberikan penerangan yang jelas tentang manhaj al-Quran dengan ruh kehangatan yang memuncak, daya tarikan yang mendidik dan semangat yang membara. InsyaAllah.
Penutup – Komentar seorang hamba.
(1) Apa perasaan kita apabila membaca artikel di atas? – Seharusnya kita memasang azam dan tekad untuk bergerak menuju ke arah itu. Boleh dan mampukah diriku? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Kita lakukan dengan kemampuan yang ada.
(2) Perkara yang terpenting ialah kita berkeupayaan untuk mengamalkan apa yang kita perkatakan. Allah S.W.T sangat murkai, mereka yang banyak menasihati, berbicara dan berkata-kata tetapi ia tidak berbekas pada hatinya. Positifkan hal ini, akulah yang pertama yang akan melaksanakannya.
(3) Marilah kita meluruskan niat dan perasaan untuk sentiasa mempertingkatkan diri kita. Dan salah satu kemahiran yang perlu ada di dalam diri ummat Muhammah ialah kemahiran public speaking, pengucapan awam, dan berkhutbah dengan baik. Ayuh kita gerakan wawasan ini.
0 pendapat:
Post a Comment