“Berapa suhu di Malaysia sekarang?”
“30 darjah celcius”
“Oh… panasnya… saya tidak suka cuaca panas seperti di Malaysia. Saya suka tempat sejuk macam Norway”, jelas nurse yang bertugas.
Suami baru pulang dari Malaysia dua hari lepas. Semalam kami membawa Aleeya ke Maternal and Child Health Centre berhampiran rumah.
Alhamdulillah, berat badan Aleeya yang menghadapi masalah di minggu awal kelahirannya menunjukkan peningkatan yang baik. Kesihatannya juga baik setakat ini.
Pulang ke rumah, kata-kata nurse berkulit putih itu terngiang-ngiang di telinga,
“Saya tidak suka cuaca panas. Saya suka tempat sejuk”
[5 Mei 2011-p]
Kata-kata itu lumrahnya merupakan fitrah manusia secara umum; Tidak suka panas-panas. Kalau tidak, tidak lakulah peralatan elektrik seperti kipas dan penyaman udara bagi semua negara beriklim panas.
Tanyalah mana-mana manusia pun, rasanya tiada siapa yang sanggup meletakkan jarinya di atas asap api yang marak, apatah lagi memasukkan tangannya ke dalam api tersebut. Itu baru jari dan tangan.
Hawa panas yang menyentuh mana-mana bahagian badan kita mudah terasa, menyebabkan tindakan refleks berlaku. Otak yang memberitahu kepanasan sesuatu benda sehingga kita tahu meletakkan sempadannya.
Namun adakah manusia mempunyai tindakan refleks yang sama tatkala tersentuh cebisan azab neraka? Setiap dosa-dosa merupakan kepanasan neraka yang berganda-ganda dari kepanasan api dunia.
Kebanyakan manusia bukan sekadar tersentuh kepanasan azab Allah, bahkan sengaja menerjunkan diri ke lembah yang pedih itu.
Para ulama yang menyelewengkan ilmunya dan mengampu kerajaan yang zalim.
Para penguasa yang menindas dan memeras ugut rakyatnya.
Para korporat yang mengamalkan riba dan rasuah.
Para pembuat fitnah terhadap saudara seagamanya sendiri.
Para penjudi dan peminum arak.
Para penzina dan pembunuh anak-anak yang dia lahirkan sendiri.
Para wanita yang mendedahkan aurat (aib) kepada lelaki ajnabi.
Ibubapa yang mengabaikan pendidikan agama anak-anak.
Anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa.
Dan seribu serba satu maksiat lagi…
Manusia sering alpa, struktur kejadian mereka terdiri dari 2 unsur utama yang harus dipelihara dari kepanasan api yakni jasmani dan ruh.
Memelihara jasad lahir dari kepanasan api adalah mudah kerana kita sensitif dengan rasa panas, namun berapa ramai manusia hari ini yang berada di dalam bilik berhawa dingin atau di tempat beriklim sejuk realitinya sedang membakar keseluruhan tubuh-tubuh mereka dengan api yang 70 kali ganda panasnya dari api dunia?
Pasangan yang menempah hotel lima bintang dengan bilik berhawa dingin untuk berzina tidak akan berzina jika hati mereka sensitif dengan dosa. Berbaloikah menempah bilik berhawa dingin untuk melakukan sesuatu yang akan membakar diri kelak?
Kenapa kita tidak mudah terasa ‘panas’ tatkala melakukan dosa walhal kita sebenarnya berupaya mengesannya? Mari kita susuli sabda Rasulullah s.a.w yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas,
لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ
“ Tidaklah berzina seseorang penzina saat dia berzina dalam keadaan dia beriman, dan tidaklah mencuri seseorang pencuri saat dia mencuri dalam keadaan beriman”
6400 Sahih Bukhari
Iya, mekanisme mengesan ‘kepanasan dosa’hanyalah dengan hati yang percaya serta yakin terhadap pembalasan Allah di hari akhirat. Seseorang yang melihat api yang marak membakar sebuah rumah agam tidak akan memasuki rumah tersebut meskipun di dalamnya terdapat emas bertan-tan.
Mengingatkan nurse itu yang belum memeluk Islam, saya merasa kasihan. Saya berfikir bagaimana cara terbaik memasarkan Islam kepadanya.
Kepanasan di dunia hanya sementara namun mati dalam keadaan kufur kepada Allah menjanjikan panas yang berganda serta kekal di dalamnya.
وَلِلكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“ dan bagi orang-orang kafir itu ialah azab yang tidak terperi sakitnya.”
Al-Baqarah: 104
Malaysia yang Panas
Signifikannya kata-kata nurse mengenai suhu Malaysia, saya teringat bahawa Malaysia sekarang bukan sahaja panas pada iklim khatulistiwanya, bahkan panas pada iklim politik, ekonomi dan sosial.
Fitnah menjadi halal demi kepentingan pihak tertentu. Rakyat semakin ditindas dan ditindas berterusan baik pada sumber ekonomi mereka, hak bersuara dan lain-lain. Banyak hukum Islam dipermainkan oleh golongan yang jahil seperti Sumpah Mubahalah dan berjabat tangan antara lelaki dan wanita ajnabi. Spesis ‘kaum Nabi Lut’ sudah hilang segannya untuk mewar-warkan kegiatan mereka. Kerajaan sendiri menggunakan media umum untuk menyebarkan cerita lucah yang dibuat-buat. Jika mahu dikira, saya kira segala jenis maksiat begitu subur di bumi Malaysia; bermula dari sebesar-besar dosa yakni murtad hinggalah kepada maksiat yang kecil-kecil.
Ingatlah, bahawa maksiat yang bertambah banyak tanpa cegahan akan mengundang murka Allah dan bala akan ditimpakan kepada manusia tanpa memilih bulu.
وَٱتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَٱعْلَمُوۤاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.
Al-Anfaal:25
Dalam satu kuliah Tuan Guru Nik Aziz, beliau berkata bahawa bala Allah sentiasa mahu turun menimpa manusia yang membuat kerosakan di bumiNya ini. Hanya dengan usaha amar makruf nahi munkar berserta doa yang mampu menolak bala tersebut dari mengenai kita. Kerosakan yang dimaksudkan ialah kerosakan yang menyentuh aspek ekslusif bagi manusia yakni sesuatu yang merosakkan keimanan mereka kepada Allah, merosakkan akal, keturunan, maruah dan harta.
Marilah kita sama-sama menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemunkaran di sekeliling kita dan bukannya sama-sama memarakkan api maksiat yang sedia menjulang di Malaysia sekarang.
Kebobrokan pemerintah yang tidak mempedulikan halal haram bahkan yang terbaru mempromosikan filem porno percuma kepada rakyatnya seolah-olah mereka lebih kafir dari yang sedia kafir. Walhal mereka mengaku diri mereka Islam.
Islam itu bermaksud selamat dan aman. Seseorang yang mengaku Islam akan bersikap mengamankan saudara muslimnya yang lain serta memelihara maruah mereka.
Saya yang berada di Australia ini pun tidak terdedah dengan filem porno yang sengaja dikaitkan dengan ahli politik tertentu demi sebuah kuasa yang ingin dipertahankan. Sedangkan Australia dikenali sebagai negara sekular yang dipimpin oleh golongan yang tidak Islam.
Saya kasihankan diri saya, anak-anak, keluarga, sahabat dan semua umat Islam serta non muslim di Malaysia dari ditimpa azab di dunia sebagaimana azab ditimpakan kepada kaum terdahulu.
Kepada para penguasa di Malaysia, marilah kita beriman sejenak kepada Allah dan hari akhirat. Ayuh bersama duduk seketika merenung diri dan bekalan yang akan dibawa mengadap Allah swt. Belum terlambat untuk bertaubat kerana Allah itu maha pengampun. Namun usah bertangguh dengannya kerana mati tidak mengenal usia dan waktu.
Kepada orang awam pula, sama-sama kita mencegah kemunkaran pemerintah. Cenderung sahaja kepada golongan yang zalim, sudah layak mendapat tiket masuk ke lembah azab. Apatah lagi jika menolong melakukan kezaliman secara langsung.
وَلاَ تَرْكَنُوۤاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُمْ مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
Hud:113
Jika pemerintah sekarang mampu berbuat zalim kerana satu undi yang pernah diberikan,maka mencegah kemunkaran pemerintah yang paling minimum ialah dengan menukar pemerintah kepada mereka yang adil dengan kuasa undi yang ada pada rakyat.
Sama-samalah kita beristighfar dan bertaubat atas segala dosa-dosa kita, memperbaiki amalan kita dengan meninggalkan maksiat menuju taat. Hanya ini sahaja usaha yang ada pada kita untuk menolak segala bala kerana Rasulullah s.a.w sudah tidak bersama kita.
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
Al-Anfaal: 33
0 pendapat:
Post a Comment