Islam Itu Indah

Lembaran Kasih

Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Buat Dia Yang Bergelar Pemimpin



"Aku tak boleh, aku tak kuat."     
"Aku lembik, lemah."    
"Aku tak pandai nak sesuaikan diri d eng  an keadaan."  
"Aku rasa ada yang lebih layak daripada aku."  
"Aku tak dapat nak galas amanah ni, susah sangat, berat san gat."
Aku pernah merasai perkara yang tertulis di atas, bahkan lebih daripada itu. Ketika itu aku dilantik untuk menerajui salah satu amanah pada satu masa yang telah Allah S.W.T tentukan, aku pasrah. Aku tunduk pada ketentuan-Nya. Aku taat pada perintah-Nya. Aku sujud memohon kekuatan-Nya. Aku memanjatkan doaku pada-Nya agar menjadi lebih kuat.
Firman Allah S.W.T :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina."
[Al-Mu'minun : 60]

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Doa itu ialah ibadat." [HR Bukhari]
Dalam hadith lain, Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :
"Doa merupakan satu ibadat." Lalu baginda membaca ayat, "Dan berkata Tuhan-Mu: Berdoalah kepada-Ku." [HR Abu Daud dan Tirmidzi]
Aku patuh pada takdir-Nya, kerana aku tidak tahu perkara yang terbaik bagiku melainkan Dia, Pencipta aku yang Maha Tahu kekuatan dan kelemahan aku.
Firman Allah S.W.T :
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya : "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah S.W.T jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
[Al-Baqarah : 216]

Aku berusaha menerima dan memujuk hati ini bahawa akulah yang dipilih untuk memegang amanah sebesar itu. Akulah juga yang terpilih dari kalangan hamba-hamba-Nya yang ada disekelilingku, sungguh aku tak pinta untuk ianya berlaku bahkan aku bimbang untuk memegang amanah sebesar ini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui perkara yang terbuku dihati kecilku.
Firman Allah S.W.T :
إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ وَلا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Maksudnya : "...Sesungguhnya Allah S.W.T mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada."
[Az-Zumar : 7]

Tatkala aku menerima ketentuan, terdetik juga kekeliruan tentang kemampuan diri. Dapatkah aku menggalas beban ini, benarkah aku layak. Aku tahu, aku menerima amanah ini bukan kerana layaknya aku tetapi atas rahmat dan kasih sayang-Nya pada aku yang hina dan penuh dosa.
Firman Allah S.W.T :
قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ وَلا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلا عَلَيْهَا وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Maksudnya : Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya), patutkah aku mencari Tuhan selain Allah S.W.T, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Allah S.W.T tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan pada-Nya.
[Al-An'am : 164]

Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini, dengan adanya amanah ini bertambahlah ibadat aku kepada-Mu. Sungguh aku tidak sedar, sekalipun aku tidak diberi untuk memegang amanah ini, aku telahpun diberi amanah sebagai seorang muslim. Sepatutnya aku bersyukur, Dia memberi aku pentas untuk aku jalankan amanah ini.
Firman Allah S.W.T :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui."
[Al-Baqarah : 30]

Firman Allah S.W.T :
إِنَّا عَرَضْنَا الأمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah  sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."
[Al-Ahzab : 72]

Firman Allah S.W.T :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya : "Ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku."
[Ad-Dzariyaat : 56]

Kadang-kadang aku melakukan khilaf namun tidak sedar tentang itu. Sebenarnya, dalam aku berusaha, aku juga berputus asa. Namun bukan itu adab seorang hamba pada pemilik-Nya. Ampunkanlah aku wahai Tuhanku.
Dari Abu Hurairah R.A bahawasanya Nabi S.A.W bersabda:
"Doa seorang hamba akan selalu dikabulkan selagi tidak memohon sesuatu yang berdosa atau pemutusan kerabat, atau tidak tergesa-gesa. Mereka bertanya : Apa yang dimaksud tergesa-gesa? Beliau menjawab : Dia berkata ; Saya berdoa berkali-kali tidak dikabulkan, lalu dia merasa menyesal kemudian meninggalkan doa." (HR Muslim)
Jika difikirkan amanah ini, aku tidak dapat hendak menanggungnya, hanya Dia sahaja yang mengetahui apa yang aku rasai. Telah kekeringan air mata dan telah lesu kepenatan aku berfikir untuk aku terus kuat dan gagah sebagaimana pahlawan-pahlawan silam yang telah terbukti keimanannya juga kejayaannya. Dengan itu, aku berusaha bangkit dan melawan.
Segala tindakan aku sebagai pemegang amanah tertakluk kepada terma dan syarat Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W yang berada dalam satu pakej lengkap iaitu Islam. Sesunguhnya aku akan ditanya di mahkamah akhirat yang tiada sebarang ketidakadilan dan keraguan. Islam itu akan membuahkan iman dan ihsan, dan titik bermula segala tindakan ialah hati.
"Sesungguhnya, di dalam badan manusia itu ada seketul darah. Jika ianya baik maka seluruh anggotanya turut baik dan jika ianya buruk, buruklah seluruhnya. Itulah dia, hati." [HR Bukhari dan Muslim]
Sesungguhnya, telah banyak yang menjadi persoalan telah dijawab di dalam Al-Quran. Namun hanya aku yang tidak menyedarinya. Aku mohon petunjuk dan rahmat daripada-Nya agar aku berjaya memikul amanah ini. Aku akan jalani dan lakukan sebaik mana yang aku mampu dan akan aku cuba kembali kepada fitrah asal kejadianku yang menginginkan kejayaan daripada Dia yang satu.

0 pendapat:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN